Ahad, 24 September 2017 | 8:01am
Peta lokasi Hutan Simpan Batu Talam.

Pembalakan di Hutan Simpan Batu Talam dihentikan

KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan Pahang mengarahkan pemberhentian kerja pembalakan, termasuk pembinaan jalan pengeluaran dan pengeluaran kayu di Hutan Simpan (HS) Batu Talam.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata tindakan itu diambil susulan bantahan yang dikemukakan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).

Beliau menjelaskan, kawasan pembalakan membabitkan keluasan 106.78 hektar itu adalah lot lombong dan dikategorikan sebagai tanah kerajaan.

"Lot lombong ini berada di zon kompartmen 213 dan 214, iaitu sebahagian daripada kawasan Hutan Simpang Batu Talam dengan ketinggian kira-kira 950 meter dari paras laut.

"Jabatan Perhutanan Pahang melesenkan kawasan ini dengan nombor lesen CC-02-3-2017 (KP/K) berkuat kuasa 15 Julai lalu hingga 14 Januari 2018.

"Bagaimanapun, Jabatan Perhutanan Pahang mengeluarkan arahan pemberhentian kerja pembalakan melalui surat bertarikh 8 September lalu, selepas kita mendapat bantahan PEKA," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 14 September lalu, PEKA mendesak kerajaan negeri menghentikan sebarang aktiviti pembalakan di kaki Bukit Fraser berhampiran perkampungan orang asli Kampung Bukit Telaga.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, dilaporkan berkata kedudukan lokasi pembalakan itu membimbangkan kerana berupaya menjejaskan kualiti alam sekitar di kawasan Bukit Fraser dan sekitarnya.

Wan Junaidi berkata, semakan awal Jabatan Perhutanan Pahang, setakat 12 September lalu mendapati kerja yang masih dijalankan adalah pembinaan jalan kira-kira 1.7 kilometer (km).

"Jentera daripada kawasan terbabit juga sudah dikeluarkan oleh pengurusan kontraktor pada 13 September.

"Hanya jentera dan kenderaan yang rosak saja tidak dikeluarkan, justeru ia masih berada dalam kawasan matau," katanya.

Lokasi pembalakan berkenaan dilaporkan berada kira-kira 15 km daripada Bukit Fraser, malah destinasi percutian terkenal itu terletak berhampiran dua kawasan hutan simpan, iaitu Bukit Talam dan Tranum, masing-masing dengan keluasan 61,888 hektar serta 2,701 hektar.

Berita Harian X