Isnin, 25 September 2017 | 3:32pm
KELIHATAN Petugas KTMB menuju ke jentera yang akan dibawa ke landasan yang menghadapi kerosakan insiden kabel elektrik putus, semalam untuk dipelbaiki di Stesen Kuang. Kerja penyelengaraan landasan kedua dijangka siap pada jam 5 pagi esok. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Khidmat dijangka pulih esok

 

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka pulih sepenuhnya esok pagi selepas kerja penyelenggaraan dijalankan susulan kabel eletrik terputus, Sabtu lalu.

 

KTMB dalam kenyataan hari ini, memaklumkan bekalan elektrik satu landasan pulih pada jam 8 pagi semalam, manakala kerja penyelenggaran yang sepatutnya siap pagi tadi dijadualkan pulih pada jam 10 pagi esok.

 

"Oleh sebab hanya satu landasan di antara stesen Rawang dan Sungai Buloh hari ini, perkhidmatan tren KTMB akan mengalami beberapa perubahan.

 

"Perkhidmatan tren bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan antara 15 hingga 30 minit daripada jadual asal," katanya.

 

Susulan itu, KTMB memaklumkan empat perkhidmatan tren terakhir ke laluan Rawang dan Tanjung Malim akan ditamatkan di Stesen Sungai Buloh.

 

"Penumpang akan dibawa menaiki bas dari Stesen Sungai Buloh ke stesen Rawang dan akan meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya menggunakan tren.

 

"Perkhidmatan tren bagi laluan Batu Caves-Seremban dan Tampin-Batu Caves, selain ETS bagi perjalanan ke utara dari KL Sentral serta Gemas pula beroperasi mengikut jadual," katanya.

 

Bagaimanapun, penumpang tren 9019 bagi laluan Padang Besar-KL Sentral, terpaksa dibawa menaiki tren KTM Komuter dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen KL Sentral.

 

Penumpang tren 9525 bagi laluan Padang Besar ke Gemas akan dipindahkan dengan bas dari stesen Rawang ke Sungai Buloh dan akan meneruskan perjalanan menaiki ETS ke destinasi berikutnya. 

 

Penumpang tren 9520 bagi laluan Gemas ke Padang Besar akan dibawa menaiki bas dari Stesen Sungai Buloh ke stesen Rawang dan akan meneruskan perjalanan menaiki ETS ke destinasi seterusnya.

 

Bagi tren 9312 laluan KL Sentral dan Ipoh, penumpang akan dibawa dari Stesen KL Sentral menaiki tren KTM Komuter ke stesen Sungai Buloh dan menaiki bas ke stesen Rawang sebelum meneruskan perjalanan menaiki ETS.

 

Sementara itu, jurucakap KTMB ketika dihubungi BH berkata punca kejadian kabel putus itu masih disiasat.

 

Pengguna yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan KTMB di talian 03-22671200 atau melayari akaun Twitter KTMB di @ktm_berhad.

971 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »