Isnin, 25 September 2017 | 7:12pm
KETUA Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif (empat dari kiri); Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum (kiri); Hakim Besar Malaya, Tan Sri Wira Ahmad Maarop (dua dari kiri) dan PPresiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin (tiga dari kanan) bergambar bersama empat hakim wanita yang dilantik pada Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

4 hakim wanita pegang jawatan tertinggi

PUTRAJAYA: Badan kehakiman negara hari ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila empat hakim wanita dilantik secara serentak menjawat jawatan tertinggi di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Empat hakim berkenaan ialah Datuk Aliazatul Khair Osman Khairuddin, yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan selain Datuk Suraya Othman, Datuk Yeoh Wee Siam dan Datuk Rhodzariah Bujang, yang masing-masing dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, berkata kenaikan pangkat empat hakim wanita berkenaan bukan untuk memenuhi kuota wanita di Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan, sebaliknya berdasarkan prestasi cemerlang mereka.

Katanya, ia juga secara tidak langsung membuktikan badan kehakiman negara tidak mengamalkan prejudis terhadap wanita dalam lantikannya tetapi berasaskan budaya kerja yang baik tanpa mengira jantina.

"Pada masa ini, komposisi Mahkamah Persekutuan terdiri daripada 12 hakim lelaki dan tiga hakim wanita. Dengan lantikan Datuk Aliazatul Khair, ia menjadikan jumlah hakim wanita kini seramai empat orang.

"Di Mahkamah Rayuan, sebelum ini terdapat 14 hakim lelaki dan 12 hakim wanita. Pelantikan tiga hakim wanita sekarang menjadikan jumlahnya sebanyak 15 hakim wanita di mahkamah berkenaan.

"Ini bermakna lebih 50 peratus hakim di Mahkamah Rayuan terdiri daripada golongan wanita," katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Terdahulu, keempat-empat hakim berkenaan mengangkat sumpah di hadapan Raus, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Wira Ahmad Maarop serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

Dalam pada itu, Raus berkata, pelantikan membawa tanggungjawab dan cabaran yang lebih berat kerana kepercayaan orang awam terhadap badan kehakiman boleh dipertingkatkan dengan intergriti, ilmu dan kepakaran tinggi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X