Isnin, 25 September 2017 | 8:29pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam ketika hadir pada majlis pecah tanah Hospital Cyberjaya di Cyberjaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Hospital Cyberjaya cekap tenaga

CYBERJAYA: Hospital Cyberjaya yang bakal siap menjelang 2020 akan menjadi pelengkap kepada rangkaian perkhidmatan kesihatan awam di Selangor, selain dapat mengurangkan kesesakan di Hospital Putrajaya dan Serdang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata hospital dengan 288 katil itu terletak di Cyber 11 di sini akan memberi perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya, Dengkil dan juga Sepang.

Beliau berkata, hospital yang berkeluasan 4.86 hektar itu sebuah kompleks sembilan tingkat dan dilengkapi dengan lapan tingkat kompleks parkir dan 956 tempat letak kereta.

"Hospital ini usaha kerajaan menawarkan kemudahan dan penyelesaian pintar kepada rakyat seiring kemajuan negara dalam meningkatkan piawaian sistem penjagaan kesihatan.

"Fasiliti ini dibangunkan dengan menekankan faktor kelestarian dan kecekapan tenaga menerusi reka bentuknya yang memenuhi piawaian pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI)," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Hospital Cyberjaya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Cyberview Sdn Bhd, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan pemangku Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Mohd Najib Ibrahim.

Dr Subramaniam berkata, antara ciri-ciri kelestarian kemudahan kesihatan bernilai RM475 juta yang dibiayai Kementerian Kewangan itu termasuklah penggunaan tenaga solar yang optimum dan juga teknologi pengumpulan tenaga.

"Saya berharap hospital ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu pada 2020 bagi menawarkan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia kepada orang ramai dan saya tidak mahu projek ini menjadi hospital 'sakit' (lewat siap)," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya mengenal pasti enam hospital yang sedang 'sakit' disebabkan oleh pelbagai faktor.

"Ada daripada hospital berkenaan dikategorikan sebagai 'sangat sakit' dan ada yang hanya 'sakit sedikit'.

"Saya tidak mahu projek hospital baharu ini menjadi seperti pembinaan Hospital Shah Alam yang lambat siap selain menelan perbelanjaan tambahan sebanyak RM60 juta," katanya.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata, pihaknya sudah melantik Gadang Engineering (M) Sdn Bhd pada Ogos lalu melalui tender terbuka sebagai kontraktor utama bagi projek pembinaan Hospital Cyberjaya.

"Kami amat gembira dengan kerjasama yang dijalankan dan saya yakin Gadang Engineering mempunyai kemampuan untuk memenuhi semua kriteria dan keperluan yang ditetapkan dalam pembangunan hospital ini," katanya.

473 dibaca
Berita Harian X