Jumaat, 29 September 2017 | 2:27pm

Tawaran ambil alih PLUS: Persatuan Haulier Malaysia sokong

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Haulier Malaysia menyokong tawaran Maju Holdings Sdn Bhd untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Presidennya, Nazari Akhbar, berkata persatuan memiliki lebih 100 syarikat pengangkutan sebagai ahli itu juga menyokong cadangan Maju Holdings untuk tidak menaikkan kadar tol selama 20 tahun jika tawaran itu diterima.

Katanya, mereka juga tertarik dengan tawaran syarikat berkenaan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kualiti lebuh raya sedia ada, di samping mengurangkan kos penyelenggaraan.

"Lebuh raya amat penting kepada syarikat haulier yang juga pengguna utama dengan purata 20,000 trak menggunakannya setiap hari. Ia dijangka meningkat kira-kira lima peratus setiap tahun.

"Kami pernah membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan beberapa lebuh raya dan jalan yang amat memerlukan peningkatan aspek penyelenggaraan dan keselamatan.

"Tawaran itu amat memberangsangkan kerana dapat membantu kerajaan mengimbangi kunci kira-kiranya dengan mengurangkan liabiliti luar jangka serta menghapuskan pampasan dikenakan PLUS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maju Holdings sebelum ini menyatakan ia sudah mengemukakan tawaran RM36 bilion untuk membeli seluruh aset dan liabiliti PLUS Malaysia Bhd daripada UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

UEM menguasai 51 peratus kepentingan dalam PLUS, manakala baki 49 peratus dikuasai KWSP.

Sementara itu, Nazari berkata, tawaran oleh UEM Edgenta Berhad untuk menjadi penyelenggara semua lebuh raya PLUS bagi jangka panjang serta mengurangkan kos, perlu diperjelaskan lebih lanjut.

Beliau mendakwa, kontrak ditawarkan UEM Edgenta bernilai lebih RM20 bilion bagi tempoh 21 tahun atau bersamaan kira-kira RM1 bilion setahun bagi kos penyelenggaraan adalah terlalu tinggi.

"Banyak aspek dalam tawaran UEM Edgenta itu perlu diperjelaskan. Kami harap kerajaan akan campur tangan dan selesaikan isu ini segera demi kebaikan rakyat dan persatuan seperti kami," katanya.

Berita Harian X