Jumaat, 29 September 2017 | 3:02pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), Dr Li Chunrong yang baru dilantik pada sidang media bersama antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group di Holiday Inn Glenmarie. - Foto Asyraf Hamzah

CEO baharu PROTON berpengalaman luas

KUALA LUMPUR: Pengalaman luas Dr Li Chunrong dalam industri automotif selain berpengalaman bekerja dengan jenama utama antarabangsa diyakini mampu mempercepatkan pelan pemulihan PROTON Holdings Bhd (PROTON), sekali gus melonjakkan industri automotif negara ke peringkat global dalam tempoh lima tahun.

Pelantikan Li sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) yang berkuat kuasa Ahad ini mampu meletakkan produk keluaran PROTON ke tahap global, setanding jenama utama antarabangsa.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah, berkata beliau yakin dengan pengalaman luas di peringkat global, pelantikan Li akan membawa perubahan terhadap organisasi industri automotif negara dari aspek operasi, pemasaran, kualiti selain penyelidikan dan pembangunan produk.

Beliau berkata, pelantikan itu juga dilihat mampu mengembalikan kegemilangan PROTON, sekali gus melenyapkan gelaran jaguh kampung yang dipegang sebelum ini.

"Dalam tempoh lima tahun, sudah pasti akan berlaku perubahan terhadap organisasi selain wujud pemindahan bukan saja teknologi malah pengurusan organisasi dalam kalangan pemain industri tempatan.

"Sudah pasti dengan pengalaman luas, Li mampu melonjakkan PROTON ke tahap lebih baik. Apa yang lebih penting pelantikan Li perlu dilihat dari sudut organisasi, bukan individu kerana pengalaman dan kelayakan CEO baharu ini mampu menguntungkan berpuluh ribu orang termasuk pekerja dan vendor.

"Difahamkan Li juga antara individu yang bersemangat membantu industri kecil dan sederhana (SMI) dalam sektor automotif," katanya hari ini.

Sementara itu pakar geostrategis, Azmi Hassan, berkata pelantikan Li bukan satu keputusan mengejut kerana ia dibuat mengikut terma pembelian 49 peratus saham PROTON, apatah lagi Li dianggap orang berpengalaman dalam industri automotif terutama dari segi pembuatan dan pemasaran.

Katanya, menerusi terma perjanjian antara PROTON dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely), CEO dilantik oleh Geely, namun PROTON masih mempunyai kawalan keputusan akhir menerusi pegangan saham majoriti dan kuasa untuk melantik pengerusi.

Beliau berkata, masalah PROTON bukan dari aspek kualiti kenderaan, sebaliknya kesukaran menembusi pasaran global yang begitu kompetitif.

"Dengan bantuan jenama Geely dan pengalaman CEO yang baharu maka dijangkakan kenderaan buatan PROTON mampu dipasarkan di negara ASEAN dan China, sekali gus mampu menyelesaikan isu jumlah kenderaan yang dijual tidak ekonomik dari segi skala.

"Bagi mengembalikan era kegemilangan PROTON maka pasaran baharu perlu diteroka dan inilah peranan CEO baharu diperlukan," katanya.

ends

Berita Harian X