Sabtu, 30 September 2017 | 4:40pm

KR1M: Mydin putuskan nasib pekerja

KUALA LUMPUR: Nasib kakitangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan diputuskan sendiri oleh Mydin selaku syarikat pengendali.

Ia selepas kerajaan mengumumkan penamatan kontrak syarikat pengendali KR1M itu kerana menjual barang pada harga lebih mahal berbanding pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata KR1M dahulunya dimiliki oleh Mydin dan pekerjanya ialah kakitangan syarikat itu.

Beliau berkata, kerajaan cuma menyalurkan beberapa insentif kepada Mydin supaya idea KR1M untuk menyediakan barang harga patut menjadi kenyataan demi rakyat.

"Namun, masyarakat silap sangka kerana mereka ingatkan kerajaan yang bayar gaji. Tak, Mydin yang bayar.

"Dulu, bila Mydin kemukakan cadangan (KR1M) kepada kerajaan, kita rasakan idea itu sesuatu yang baik, cadangan yang baik. Jadi, kita berilah sokongan dengan sedikit bantuan antaranya kuota permit import (AP) barang kepada Mydin ketika itu untuk buka KR1M di seluruh negara.

"Jadi, hari ini bila dia cakap tak boleh teruskan, maka itu keputusan Mydin. Kalau tutup, terpulang kepada Mydin nak ambik atau tidak (kakitangan). Bukan ada kena mengena dengan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Youngpreneurs Go anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pro Canselor merangkap Pengerusi UniKL, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UnikL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud.

Bagi memastikan syarikat pengendali KR1M 2.0 patuh pada skim harga patut, Hamzah berkata, kerajaan menguna pakai konsep ekonomi bebas sebagaimana yang dikuatkuasakan dalam negara.

Ini bermakna, katanya, KR1M 2.0 juga mengikut kaedah sama iaitu berlandaskan pasaran ekonomi bebas dan berdasarkan bekalan serta permintaan.

"Kalau dia (syarikat pengendali) rasa boleh atau mampu turunkan harga, dia boleh turunkan. Kalau tak, terpulang. Yang penting, kita lakukan itu beri kelegaan dan keselesaan kepada rakyat.

"Sebelum ini, ada beberapa insentif kita berikan untuk kawal harga, melalui kuota AP kita berikan kepada Mydin. Namun, kita akan fikirkan bagaimana cara baharu untuk kita masih berikan satu kaedah harga patut kepada KR1M 2.0," katanya.

Difahamkan, beberapa insentif akan diberikan kepada syarikat pengendali KR1M 2.0 bagi memastikan barang yang dijual menetapi harga patut.

Selain itu, sumber memberitahu, kerajaan sendiri akan menentukan syarikat pembekal barang keperluan yang dipertanggungjawabkan membekalkan barang di KR1M sebagai mekanisme pengawalan harga di premis itu.

Katanya, syarikat pengendali KR1M 2.0 bukan calang-calang kerana kebanyakannya ialah pemain industri besar di negara ini.

"Kerajaan sedang mengagihkan kawasan kepada syarikat berkenaan. Kawasan tertentu cuma akan diuruskan oleh sebuah syarikat sahaja. Maksudnya, dalam satu kawasan tidak akan mempunyai banyak syarikat pengendali," katanya.

HAMZAH melawat gerai jualan pada majlis perasmian Karnival Youngpreneurs Go anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di UniKL di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X