Sabtu, 30 September 2017 | 10:20pm

Koleksi lukisan peribadi Sultan Selangor di Balai Berita

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Pameran Koleksi Peribadi Sultan Selangor di Galeri Prima, Balai Berita Bangsar, di sini, malam ini.

Serentak itu, baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran rasmi Galeri Prima.

Ia adalah kali pertama koleksi lukisan peribadi Sultan Selangor dibawa keluar dari istana untuk tontonan umum hasil kerja tangan 14 pelukis terkemuka negara.

Selain koleksi lukisan, pameran turut mengetengahkan 47 gambar Sultan Selangor yang dirakamkan seawal tahun 1950-an.

Selepas perasmian, Sultan Selangor berkenan melawat pameran 33 koleksi lukisan peribadi baginda yang ditempatkan di galeri berkenaan sejak 25 September lalu.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama Pengerusi Media Prima Berhad (MPB), Tan Sri Ismee Ismail; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid; Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Tan Sri Ismail Omar; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Eksekutif Berita/Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengurus Galeri Prima, Azlin Aziz.

Ismee berkata lukisan yang dipamerkan itu adalah hasil kerja tangan pelukis negara sekali gus menunjukkan sokongan dan kepercayaan Sultan Selangor terhadap kredibiliti golongan itu.

Katanya, ia memberi pengiktirafan besar kepada individu terbabit sekali gus membolehkan mereka meletakkan nilai lebih tinggi terhadap lukisan berkenaan.

"Tidak dapat dinafikan juga, sokongan baginda memberi ruang kepada industri kreatif dan seni visual tempatan berkembang.

"Ia akan membuka mata pemerhati pasaran berkaitan bagi menilai potensi industri berkenaan.

"Pada masa sama, ia menjadi inspirasi kepada individu berbakat lain untuk menceburi bidang sama," katanya.

Pelukis terbabit ialah Datuk Ibrahim Hussein; Datuk Azman Yusof; Datuk Hossein Enas; Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat); Jaafar Taib; Haron Mokhtar; Datuk Chuah Thean Teng; Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir; Raja Idris; Anisa Abdullah; Ilse Noor; Shafie Hassan; Ahmad Nazri Abdullah dan Abdul Fatah Ngah.

Azlin pula berkata Galeri Prima mencipta sejarah apabila menjadi galeri lukisan pertama di negara ini dibenarkan mempamerkan lukisan koleksi Sultan Selangor kepada umum.

Katanya, pameran berkenaan bertemakan 'Terrains of the heart' juga berjaya menarik minat dan perhatian warga tempatan dari seluruh negara sejak ia dipertontonkan Isnin lalu.

"Pameran mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, ada daripada mereka yang sanggup datang dari Melaka.

"Pengunjung sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini (kunjung pameran koleksi lukisan baginda)

"Ia berikutan sebelum ini, lukisan baginda tidak pernah dibawa keluar dari istana, ia kali pertama dipamerkan kepada orang ramai," katanya.

Info Pameran Koleksi Peribadi Sultan Selangor

  • 33 lukisan koleksi peribadi baginda
  • Tempoh pameran 25 September 2017 hingga 20 Oktober ini.
  • Dipamerkan di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar
  • 14 pelukis tersohor negara
  • 47 gambar Sultan Selangor seawal tahun 1950-an turut dipamerkan
  • SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah sesuatu mengenai lukisan kepada Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Ismee Ismail (kanan), Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (kiri) selepas merasmikan Galeri Prima. - Foot Sairien Nafis
    SULTAN Sharafuddin Idris Shah menerangkan koleksi peribadi potret Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah ,Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-11 kepada, Ismee (tiga dari kiri), Kamal Khalid (dua dari kanan), Ismail Omar (dua dari kiri) dan Abdul Jalil Hamid (kiri) ketika majlis perasmian Galeri Prima. - Foto Zaaba Zakeria
    SULTAN Sharafuddin Idris Shah melihat lukisan yang dihasilkan oleh Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat sambil diperhatikan oleh Ismee dan Abdul Jalil (kiri) dan Ismail (tiga dari kiri, terlindung) selepas majlis perasmian Galeri Prima di Balai Berita Bangsar. - Foto Muhd Zaaba Zakeria.
    ANTARA tetamu yang hadir melihat pameran lukisan di Majlis Perasmian Galeri Prima di Balai Berita Bangsar. - Foto Zunnur Al Shafiq
    SULTAN Sharafuddin Idris Shah bersama Ismee (lima dari kiri),Ismail (tiga dari kiri), Datuk [email protected] Mohd Nor Khalid (dua dari kiri) serta Abdul Jalil (kiri) melawat lukisan di majlis perasmian Galeri Prima. - Foto Sairien Nafis
    SULTAN Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin melihat foto pertabalan baginda di Istana Alam Shah Klang yang dipamerkan di Galeri Prima. - Foto Sairien Nafis
    SULTAN Sharafuddin Idris Shah menandatangani plak perasmian Galeri Prima sambil diperhatikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Ismee (kiri), Kamal, Abdul Jalil (kanan) ketika merasmikan Galeri Prima. - Foto Sairien Nafis
    SULTAN Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kiri), Ismee (kiri), Kamal (dua dari kanan), dan isteri, Datin Dr Amyza Mohammed Saleh (kanan) ketika hadir merasmikan Galeri Prima. - Foto Sairien Nafis
    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Ismee melihat lukisan koleksi peribadi baginda selepas majlis pelancaran pameran dan Galeri Prima. - Foto Sairien Nafis
    Berita Harian X