Ahad, 1 Oktober 2017 | 6:48pm
AHLI Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bagi pihak TH kepada ahli keluarga Allahyarham Babharom Mohd, 84, di Taman Warisan Puteri Seremban. - Foto Mohd Amin Jalil
AHLI Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bagi pihak TH kepada ahli keluarga Allahyarham Babharom Mohd, 84, di Taman Warisan Puteri Seremban. - Foto Mohd Amin Jalil

3 lokasi bina Kompleks TH di Arab Saudi dikenal pasti

SEREMBAN: Lembaga Tabung Haji (TH) sudah mengenal pasti tiga lokasi sesuai untuk pembinaan Kompleks Tabung Haji, masing-masing di Makkah, Madinah dan Jeddah di Arab Saudi.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata satu perjanjian persefahaman (MOU) di antara TH dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi urusan berkaitan akan ditandatangani Disember ini.

"Selama ini, TH menyewa bangunan dan pusat penempatan untuk tempoh 10 tahun yang akan diperbaharui dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun apabila termeterai MOU nanti, kita mungkin diberi kebenaran untuk memajak sehingga 99 tahun.

"Kita masih lagi berunding dan Insya-Allah, jika semua urusan selesai dengan pihak berkuasa Arab Saudi terutama berkenaan harga, MOU itu akan ditandatangani Disember ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Baharom Mohd, 84, di Taman Warisan Puteri, di sini hari ini.

Baharom meninggal dunia akibat sakit jantung ketika mengerjakan ibadat haji di Makkah, pada jam 7.30 pagi, 26 Ogos lalu.

Abdul Shukor berkata, TH percaya pembinaan Kompleks Tabung Haji di Arab Saudi yang akan turut menjadi pusat penempatan jemaah dari Malaysia bakal memberi manfaat terutama mengurangkan kos.

"Apabila ada kompleks sendiri, kita boleh menjimatkan kos dan tenaga kerja selain urusannya lebih mudah dan lancar," katanya.

Beliau berkata, tahun ini seramai 40,000 jemaah dari Malaysia menunaikan haji selepas mendapat kuota tambahan daripada kerajaan Arab Saudi berbanding kuota asal 30,200 orang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X