Isnin, 2 Oktober 2017 | 12:52pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat utama KD Panglima Hitam dari Pangkalan TLDM, Lumut sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor di Perkarangan Tugu Peringatan Negeri Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

Sultan Selangor hadir sambutan Hari Pahlawan

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan hadir memberi penghormatan serta meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negeri Selangor bersempena sambutan Hari Pahlawan, hari ini.

Baginda tiba jam 8.20 pagi dan disambut oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta dif kehormat lain.

Acara dimulakan dengan lagu Negeri Selangor, seterusnya baginda menerima hormat diraja serta memeriksa barisan kawalan kehormat utama daripada 115 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sultan Sharafuddin Idris Shah kemudiannya diiringi Menteri Besar berangkat untuk istiadat meletak kalungan bunga di tugu peringatan.

Acara diteruskan dengan tiupan 'Paluan Akhir' yang lebih dikenali sebagai 'Last Post' dan hadirin juga diperdengarkan dengan deklamasi sajak bertajuk 'Pahlawanku' oleh Asisten Komisioner Pathu Rahman Esa dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Koperal Siti Nur Aini Jasni dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Istiadat kalungan bunga dimulakan oleh baginda Sultan seterusnya dikuti Mohamed Azmin, Panglima 11 Briged, Ketua Polis Selangor, Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Selangor dan Pengerusi Bekas Polis Malaysia Selangor.

Acara kemudiannnya diteruskan dengan tiupan 'Paluan Fajar' yang lebih dikenali 'Rouse'. Semasa tiupan 'Paluan Fajar', Jalur Gemilang dikibarkan sebagai tanda memberi semarak kepada tentera dan polis yang masih hidup untuk terus berjuang mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Turut terbabit dalam acara berkenaan pelajar daripada enam sekolah, iaitu Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (Laut) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Kadet Remaja Sekolah dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam; Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan dan Persatuan Pengakap SMK Seksyen 7; Kor Kadet Polis SMK Seksyen 9 serta Pergerakan Puteri Islam SMK Seksyen 18.

Baginda kemudiannya berangkat untuk membalas hormat diraja kawalan kehormatan utama seterusnya menandatangani buku pelawat.

Berita Harian X