Selasa, 3 Oktober 2017 | 7:23pm
MAS Ermieyati bergambar bersama penerima Sijil Lesen Khas Umrah di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

Jemaah umrah dapat takaful percuma

KUALA LUMPUR : Jemaah umrah Malaysia kini dilindungi takaful percuma bernilai RM50,000 bagi kegunaan ketika kecemasan di Makkah terutama sakit atau terkandas tanpa penambahan kepada kos mengerjakan ibadat itu.

Kemudahan itu berkuat kuasa Ahad lalu menerusi pindaan Akta Industri Pelancongan 1992 dan pengenalan Lesen Khas Umrah oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, berkata pada masa ini, sebanyak 25 syarikat pengendali umrah yang diberikan Lesen Khas Umrah menawarkan kemudahan takaful itu.

Beliau berkata buat masa ini perlindungan yang diberikan menerusi takaful itu bertumpu kepada isu kesihatan termasuk terlantar dan terkandas di Tanah Suci atau dalam perjalanan.

Pada masa sama, katanya, pengusaha syarikat umrah pula turut dilindungi insurans indemniti yang memberi perlindungan sekiranya berdepan tindakan undang-undang seperti disaman oleh pelanggan.

Katanya, jemaah akan menerima semua manfaat perlindungan takaful tanpa perlu mengeluarkan kos tambahan iaitu pada harga minimum RM4,900 ditetapkan bagi pakej umrah 12 hari 10 malam.

"Langkah ini dilakukan supaya jemaah (umrah) mendapat perkhidmatan kebajikan terbaik dan jaminan perlindungan ketika menunaikan ibadat.

"Kementerian berharap pengenalan insurans berkelompok ini juga akan melindungi kepentingan perniagaan semua pemegang Lesen Khas Umrah termasuk memastikan pengusaha benar-benar menawarkan pakej pengendalian sebagai produk utama," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ab Ghaffar A Tambi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Nor Hayati Awang dan Pengerusi Eksekutif Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS), Datuk Zainal Abidin Sakom.

Terdahulu Mas Ermieyati menyampaikan replika Sijil Lesen Khas Umrah kepada wakil kumpulan pertama 25 syarikat yang melepasi saringan kerajaan dan akan melaksanakan projek rintis IMAMS.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata kerajaan akan menapis senarai agensi yang benar-benar layak dan menepati syarat Lesen Khas Umrah untuk dibenarkan mengendalikan pakej umrah dan ziarah.

"Kerajaan setuju mengecualikan bayaran fi proses dan fi Lesen Khas Umrah sehingga 31 Disember ini untuk menggalakkan lebih banyak syarikat berkelayakan memohon lesen segera.

"Sehingga 27 September lalu, kementerian terima 80 permohonan tambah bidang LKU tetapi hanya 25 permohonan sahaja diluluskan buat masa ini," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Puteri UMNO berkata Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) mewajibkan tiga syarat kepada pengusaha untuk mengatasi penipuan umrah.

Katanya, pertama, harga siling umrah pakej ekonomi 12 hari 10 malam ditetapkan kepada RM4,900; kedua, MKSU sebagai satu pusat sehenti menerima aduan berkaitan umrah dan meningkatkan penguatkuasaan dan mengetatkan urusan pelesenan syarikat membawa jemaah.

"Kerajaan juga akan menjalankan tiga penambahbaikan Lesen Khas Umrah untuk rujukan pengusaha dan orang ramai iaitu buku panduan yang boleh dimuat turun di laman kementerian, membenarkan pengusaha melantik pegawai pemasaran umrah berdaftar dengan kementerian dan memperkenalkan kad pengenalan khas pegawai pemasaran umrah," katanya.

Lesen Khas Umrah dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu bagi memantau dan membangunkan industri pelancongan umrah negara terutama memastikan tiada isu penipuan dalam pengendalian pakej berkenaan.

Prasyarat untuk mendapatkan lesen khas berkenaan adalah pengarah atau pemegang saham syarikat pengendali umrah menjalani Kursus Pemantapan Pengendali Umrah selama dua hari.

Syarat lain termasuk memiliki perjanjian muassasah terkini dan mendaftar sebagai ahli Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) atau Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) sekurang-kurangnya enam bulan.

Tahun ini seramai 250,000 jemaah Malaysia mengerjakan ibadat umrah dengan transaksi jualan pakej umrah berjumlah RM1.1 bilion.

Berita Harian X