Rabu, 4 Oktober 2017 | 5:52pm
AYOB Mat Aris. - Foto Asyraf Hamzah

Tiada caj tambahan pakej umrah - BUMITRA

KUALA LUMPUR : Syarikat pengendali umrah memberi jaminan tiada caj tambahan pakej umrah dikenakan kepada bakal jemaah berikutan langkah kerajaan mewajibkan Lesen Khas Umrah (LKU), bermula Ahad lalu.

Melalui LKU, syarikat pengendali umrah diwajibkan menyediakan Skim Insuran Takaful dengan perlindungan insurans RM50,000 meliputi kes kecemasan seperti kesihatan atau terkandas ketika di Tanah Suci.

Naib Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) (Haji dan Umrah), Ayob Mat Aris, berkata jaminan itu bagaimanapun tertakluk kepada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan syarikat pengendali umrah seperti kadar penginapan dan jarak perjalanan.

Katanya, ketika ini, kerajaan bersetuju menetapkan harga minimum RM4,900 untuk umrah pakej ekonomi 12 hari 10 malam dan kemudahan insurans takaful.

"Terpulang kepada jemaah untuk pilih pakej yang sesuai untuk mereka. Sekiranya mereka pilih pakej premium, mereka hanya bayar harga pakej yang ditawarkan kerana syarikat pengendali umrah sudah menyediakan perlindungan insurans," katanya kepada BH.

Beliau mengulas berhubung isu syarikat pengendali umrah diwajibkan mohon LKU dan sediakan Skim Insurans Takaful percuma bernilai RM50,000 bagi kegunaan jemaah umrah ketika kecemasan di Makkah terutama sakit atau terkandas tanpa penambahan kepada kos mengerjakan ibadat itu.

Kemudahan itu berkuat kuasa Ahad lalu menerusi pindaan Akta Industri Pelancongan 1992 dan pengenalan Lesen Khas Umrah oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Ketika ini, sebanyak 25 daripada 400 syarikat pengendali umrah sahaja yang diberikan Lesen Khas Umrah menawarkan kemudahan takaful itu.

Mengulas lanjut, Ayob berkata langkah kerajaan mewajibkan pengendali umrah memohon LKU untuk mengelakkan penipuan umrah selain, umrah DIY (Do It Yourself) yang tidak dibenarkan kerajaan Arab Saudi.

Katanya, ia supaya orang ramai tidak mudah tertipu dengan tawaran mengerjakan umrah pada harga di bawah RM4,900 seperti ditetapkan kerajaan.

"Sudah banyak berlaku kes jemaah umrah dibiarkan terkandas apabila ada kes kecemasan atau sakit ketika di Tanah Suci terutama pengendali umrah kecil-kecilan. Mereka (pengusaha) tidak memberikan perlindungan insurans kepada jemaah.

"Saya tidak nafikan ramai jemaah yang mengambil pakej tawaran murah dan ditipu agensi tidak bertanggungjawab kerana mereka tiada duit atau orang susah. Bayangkan, kalau berlaku sakit terlantar, jemaah atau pengusaha kena bayar RM35,000 untuk sewa pengusung (strecher) untuk bawa pulang ke Malaysia," katanya.

Ayob berkata, inisiatif kerajaan dengan syarikat pengendali umrah adalah untuk memberikan mutu dan kualiti perkhidmatan terbaik kepada jemaah supaya mereka tidak perlu risau atau bimbang sekiranya berlaku insiden tidak diingini ketika beribadat.

658 dibaca
Berita Harian X