Rabu, 4 Oktober 2017 | 6:17pm
SURAYA Ismail pada taklimat media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aziah Azmee

Langkah bantu stabil sewa rumah di bandar

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) akan mengemukakan cadangan kepada beberapa kerajaan negeri untuk menubuhkan Tabung Pembangunan Komuniti (CDF), sebagai salah satu pilihan menstabilkan kadar sewa rumah di kawasan bandar raya pesat membangun.

Pengarah Penyelidikan KRI, Dr Suraya Ismail, berkata cadangan berkenaan akan dikemukakan bersandarkan kepada kajian kes CDF di Georgetown dikenali sebagai "Inisiatif Hock Teik", inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia itu memberikan peluang kepada penyewa untuk berkongsi kos menaik taraf rumah yang disewa.

Katanya, inisiatif berkenaan membolehkan penyewa membuat rundingan lebih baik terhadap kadar sewaan memandangkan mereka turut menjadi sebahagian daripada proses menaik taraf kediaman, sekali gus menyediakan penyelesaian yang mapan bagi kadar sewa mampu milik di bandar raya.

"Kami akan berbincang dengan beberapa kerajaan negeri (mengenai cadangan menubuhkan CDF). Antara bandar raya yang dikenal pasti sesuai menggunakan model ini termasuklah Ipoh, Kuching, malah di Kampung Baru (Kuala Lumpur)," katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, hari ini.

Laporan terbaharu KRI bertajuk "Membina Modal Sosial: Eksperimen Georgetown" menjelaskan manfaat CDF untuk mengurangkan tekanan sosial yang berpunca daripada proses pembangunan pesat sesebuah bandar raya.

Eksperimen dijalankan oleh KRI di Tapak Warisan Dunia Georgetown (GTWHS) untuk mengenal pasti masalah dihadapi penduduk setempat apabila kadar sewa rumah melonjak selepas pelbagai projek pembangunan dijalankan di kawasan berkenaan.

Berdasarkan perangkaan, sebelum GTWHS diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2008, kawasan berkenaan mempunyai penduduk seramai 18,660 namun berkurangan kepada hanya 10,159 orang pada akhir 2009.

Antara 2009 dan 2013, dianggarkan seramai 591 isi rumah lagi meninggalkan GTWHS.

Ia berpunca daripada pembangunan pesat kawasan sekitar yang menyebabkan penjualan bangunan daripada satu pemilik ke pemilik lain, menjadikan kadar sewa menjadi semakin mahal bagi penyewa sedia ada.

Suraya berkata Inisiatif Hock Teik adalah penerima pertama CDF, yang dibangunkan bagi membolehkan penyewa merundingkan hak sewaan dengan syarat mereka sanggup menanggung sebahagian kos kewangan menaik taraf rumah yang didiami.

Katanya, mekanisme pendanaan adalah melalui gabungan geran sepadan yang disediakan kepada pemilik rumah dan pinjaman kepada penyewa yang membolehkan kedua-dua pihak menetapkan kadar sewa yang lebih mampu milik.

"Kerjasama ini boleh membantu kedua-dua pihak memperoleh situasi menang-menang kerana penyewa yang turut sama mempunyai perkongsian dana dalam kediaman itu dapat menikmati harga sewaan yang lebih murah berbanding harga sewaan semasa.

"Manakala pemilik rumah mendapat manfaat kerana kediaman mereka dijaga oleh penyewa seperti rumah mereka sendiri memandangkan terdapat 'pelaburan' bersama bagi memastikan keadaan rumah dalam keadaan terpelihara," katanya.

INFO

*CDF dibangunkan dengan kerjasama agensi pendanaan dalam bentuk geran sepadan dan pinjaman

*Geran sepadan disediakan menerusi Think City, syarikat tujuan khas Khazanah Nasional Bhd

*Pinjaman disediakan menerusi Pakatan Asia bagi Hak Perumahan (ACHR)

332 dibaca
Berita Harian X