Sabtu, 7 Oktober 2017 | 1:51pm
LALUAN MRT fasa dua laluan Semantan - Kajang. - Foto Khairull Azry Bidin

Kadar penggunaan sistem pengangkutan rel meningkat

KUALA LUMPUR: Pelancaran Tren Transit Aliran Massa (MRT) akhir tahun lalu meningkatkan kadar penggunaan sistem pengangkutan rel dalam kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang (Greater KL/KV) sehingga 30 peratus sehari.

Peningkatan berkenaan dicatatkan bagi tempoh lapan bulan bermula Januari lalu berbanding 2016.

Sistem pengangkutan rel dalam tempoh itu menerima 739,629 pengguna dengan 101,024 orang menggunakan perkhidmatan MRT setiap hari.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan hari ini, berkata jumlah itu meningkat berbanding 570,021 pengguna sehari yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Tanpa MRT, katanya, perkhidmatan rel lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan KLIA Transit tetap menyumbang kepada peningkatan 12 peratus penggunaan rel berbanding tahun lalu.

Dua laluan LRT, Kelana Jaya dan Ampang masing-masing menyumbang peningkatan penumpang sebanyak 26 peratus (271,250 pengguna sehari) dan 14 peratus (184,931 pengguna sehari).

"KLIA Transit pula menyumbang peningkatan penumpang sebanyak 10 peratus atau 19,420 pengguna sehari," kata kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun kadar penggunaan perkhidmatan KTM Komuter menurun kepada lima peratus berikutan kerja pembinaan projek infrastruktur Landasan Kereta Api Berkembar Lembah Klang (KVDT).

Menurut kenyataan itu, kadar penggunaan harian KL Monorel juga menurun sebanyak 11 peratus berikutan keputusan menghentikan operasi beberapa tren set empat gerabak kerana isu keselamatan.


LRT aliran Kelana Jaya sekitar Lembah Kelang. - Foto Aizuddin Saad

"Kaji selidik bebas berkaitan Indeks Kepuasan Pengguna (CSI) dijalankan SPAD menunjukkan 84 peratus daripada responden berpuas hati dengan pengangkutan awam bandar, meningkat sebanyak 10 peratus berbanding 2015.

"Hasil dapatan ini mencerminkan kerajaan kini berada di landasan tepat dalam merancang dan melaksanakan inisiatif di bawah Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Kebangsaan (NLPTMP)," katanya lagi.

Bagi menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam untuk membolehkan trafik lebih lancar, SPAD akan melancarkan `Journey Planner' (Perancang Perjalanan) pada suku keempat tahun ini.

Suruhanjaya itu juga akan melaksanakan sistem tiket bersepadu menjelang 2019.

Kenyataan sama menyebut kerajaan membuat pelaburan yang banyak dalam menambah baik infrastruktur pengangkutan awam di bawah Bidang Keberhasilan Utama-Pengangkutan Dalam Bandar (NKRA UPT).

Pada 2010, bahagian mod pengangkutan awam dalam kawasan Greater KL/KV hanya 10 peratus dan kadar itu diunjur meningkat kepada 40 peratus menjelang 2030 di bawah NLPTMP.

416 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »