Ahad, 8 Oktober 2017 | 4:37pm
PENGERUSI Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim membantu peniaga menjual ikan pada majlis perasmian Program 'Jom Makan Ikan' sempena Kempen Pengurangan Kos Sara Hidup di Kuala Selangor, hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman

NEKMAT, koperasi boleh turunkan harga ikan - LKIM

KUALA SELANGOR: Koperasi di seluruh negara diminta bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) untuk mendapatkan bekalan ikan segar serta menjualnya pada harga lebih rendah.

 

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata koperasi boleh menjual ikan itu pada harga berpatutan kerana mendapat bekalan secara terus dari NEKMAT, sekali gus menghapuskan peranan orang tengah.

 

"Peranan koperasi penting dalam usaha menangani kos hidup rakyat khususnya di Lembah Klang. Saya mencadangkan NEKMAT mencari lebih banyak koperasi (menjadi ejen atau stokis) untuk memasarkan bekalan ikan segar atau segar beku Q'Fish pada harga yang ditetapkan. 

"Kita memerlukan peranan koperasi supaya bekerjasama dengan NEKMAT untuk menjual bekalan ikan. Tujuan kita ialah pada akhirnya mahu rakyat mendapat bekalan ikan terus dari NEKMAT tanpa ada orang tengah.

 

"Saya harap ada koperasi tampil serta berbincang dengan NEKMAT apa model terbaik yang boleh diguna pakai, begitu juga dari segi perniagaan dan pemasaran," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program 'Jom Makan Ikan' sempena Kempen Pengurangan Kos Sara Hidup di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program 'Jom Makan Ikan' itu, Irmohizam, berkata LKIM dengan kerjasama NEKMAT dan Persatuan Nelayan Negeri Selangor (PENEGOR) akan menjual ikan segar dan segar beku Q'Fish pada setiap hari di Pasar Mini MyBeli, Saujana Utama di sini.

"Bekalan ikan ini dijual dengan dengan harga istimewa iaitu potongan diskaun antara 20 hingga 50 peratus berbanding harga pasaran," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan tiga perkara untuk membantu sektor perikanan dalam Bajet 2018 nanti.

"Pertama, saya harap elaun sara hidup nelayan dapat dipanjangkan sehingga tempoh 75 tahun. Kedua, kerajaan perlu mempergiatkan usaha menghapuskan orang tengah serta meningkatkan stok ikan segar beku bagi memastikan harga ikan berpatutan.

"Ketiga, membaik pulih rumah nelayan kerana kebanyakan rumah tepi pantai dalam keadaan begitu daif supaya mereka boleh bekerja dengan baik," katanya.

506 dibaca
Berita Harian X