Isnin, 9 Oktober 2017 | 4:14pm
KETUA Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar dan Pemangku Komisioner ABF, Michael Outram pada sidang media di Majlis Perasmian Eksesais Redback di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Australia bawa kapal cari MH370 ke Eksesais Redback

PELABUHAN KLANG: Kira-kira 100 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Australian Border Force (ABF) menjalani latihan bersama dalam usaha menjaga keselamatan perairan kedua-dua negara menerusi Eksesais Redback.

Latihan kali ini juga menyaksikan buat kali pertama ABF membawa kapal terbesar mereka, Australian Border Force Cutter (ABFC) Ocean Shield, yang pernah digunakan untuk misi pencarian pesawat MH370 sebelum ini.

Latihan di atas kapal KM Marlin dan KM Bagan Datuk itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pemerhati selama ia diadakan di perairan Selat Melaka.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar, berkata latihan akan bermula dari Pelabuhan Klang pada hari ini dan berakhir di Pulau Pinang pada 14 Oktober nanti.

"Latihan ini membabitkan beberapa aset udara APMM. Eksesais Redback dibahagikan kepada tiga fasa utama iaitu fasa pelabuhan, fasa di laut dan fasa penutup.

"Ketiga-tiga fasa ini akan diisi dengan pelbagai modul latihan bagi mencapai objektifnya dalam memperkasakan pengawasan dan keselamatan maritim kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Eksesais Redback di Boustead Cruise Centre di sini, hari ini.

Zulkifili berkata, latihan itu inisiatif terbaharu dalam usaha mengangkat jenama Redback menerusi lapan siri operasi yang dilaksanakan APMM dengan sokongan penuh ABF sejak 2013.

"Latihan kali ini lebih menumpukan kepada simulasi pengawasan keselamatan di laut bagi meningkatkan tahap keselamatan di perairan masing-masing.

"Menerusi lapan siri operasi sebelum ini, kedua-dua agensi saling bertukar maklumat berkenaan pergerakan jenayah maritim rentas sempadan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama APMM dan ABF itu bermula menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) antara Malaysia dan Australia di bawah Kerjasama dan Bantuan Membabitkan Operasi Penguatkuasaan Undang-undang Sivil Maritim pada 12 Julai 2011.

"Ini membabitkan empat tunjang utama iaitu perkongsian maklumat, pembangunan sumber manusia, kajian dan pembangunan (R&D) serta mana-mana bidang berkaitan," katanya.

Sementara itu, Pemangku Komisioner ABF, Michael Outram, berkata penggunaan ABFC Ocean Shield dalam latihan itu adalah sebagai tanda sokongan kuat negara berkenaan kepada kerjasama itu.

"Kehadiran kapal ABFC ini sebagai nilai tambah dan simbolik kerjasama erat antara dua negara. ABFC Ocean Shield adalah sebuah aset yang terbabit secara langsung dalam membantu Malaysia ketika pencarian MH370 di Lautan Hindi.

"Australia sudah lama menjalinkan kerjasama dari sudut penguatkuasaan bersama Malaysia dan berkongsi matlamat sama untuk menghadapi cabaran keselamatan di laut termasuk isu penyeludupan manusia dan dadah, penangkapan ikan secara haram dan lain-lain ancaman keselamatan," katanya.

Difahamkan, ABFC Ocean Sheild yang membawa 42 anggota dan pegawai ABF tiba di sini 6 Oktober lalu.

816 dibaca
Berita Harian X