Selasa, 10 Oktober 2017 | 2:16pm
RICHARD Riot (dua dari kanan) merasmikan Asean Productivity-Linked Wage Conference. - Foto BERNAMA

ASEAN laksana Sistem Upah Berasaskan Produktiviti tahun depan

KUALA LUMPUR: ASEAN akan melaksanakan Sistem Upah Berasaskan Produktiviti (PLWS), projek perintis yang dimulakan Malaysia pada 1996, bermula Mei 2018.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata perkara itu diputuskan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Buruh ASEAN (SLOM-WG) pada Julai lalu.

Beliau berkata, ia membabitkan tiga matlamat iaitu membangun dan mengamalkan PLWS dalam kalangan negara ASEAN, berkongsi amalan penguatkuasaan terbaik PLWS serta mempromosikan perkongsian keuntungan antara majikan dan pekerja.

"Perjumpaan wakil ASEAN yang julung kali diadakan di rantau Asia, hari ini adalah untuk membangunkan dan merangka perbincangan lanjut hasil mesyuarat SLOM-WG, baru-baru ini.

"Kita akan bawa keputusan ini untuk perbincangan mesyuarat peringkat Menteri ASEAN di Manila, bulan depan," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan PLWS ASEAN pertama bertemakan Memperkasa Struktur Upah Dengan Perkongsian Keuntungan selain menyampaikan Sijil Amalan PLWS kepada enam syarikat tempatan.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Dr Mohd Gazali Abas; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar Antarabangsa), Amir Omar.

Turut hadir, wakil delegasi ASEAN, Jepun dan Korea, wakil Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), Pertubuhan Produktiviti ASEAN (APO), Sekretariat ASEAN dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASEC).

Mengulas lanjut, Riot berkata majikan di negara ini banyak mengamalkan PLWS sejak 1996 dan yakin sistem itu boleh dikembangkan di peringkat antarabangsa.

Katanya, kerajaan berpuas hati dengan prestasi dua entiti, majikan dan pekerja untuk bekerjasama selain, bertindak sebagai orang tengah kepada entiti itu.

"Terima kasih kepada syarikat tempatan yang sudah laksanakan PLWS dan kita berharap supaya keuntungan diperoleh syarikat dikongsi dengan pekerja.

"Saya percaya pekerja akan lebih gigih bekerja apabila majikan mengagihkan keuntungan dengan mereka. Perkara ini (perkongsian keuntungan) antara sebab diadakan persidangan hari ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai Indeks Gaji Kebangsaan (NWI), yang dijangka dilaksanakan pada Julai lalu, sebagai penanda aras membantu majikan menentukan tahap gaji yang bersesuaian dengan kelayakan, kemahiran dan produktiviti pekerja, Riot menjelaskan ia masih di peringkat perbincangan

"Kita akan umumkan pada Disember ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai skim gaji di negara ini jauh ketinggalan berbanding negara maju, Riot mengakui perkara itu.

Beliau berkata, pelaksanaan PLWS antara tindakan kerajaan meningkat skim gaji pekerja di negara ini bagaimanapun, ia memerlukan kerjasama sokongan pemain industri, usahawan individu dan kerajaan untuk merebut peluang dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang bernilai RM10.9 trilion membabitkan 600 juta populasi rakyat.

160 dibaca
Berita Harian X