Rabu, 11 Oktober 2017 | 5:53pm
PLUS akan menutup 134 lorong tambah nilai kad PLUSMiles dan Touch 'n Go di semua plaza tol lebuh raya berkenaan pada 17 hingga 19 Oktober ini. - Foto hiasan

PLUS tutup sementara 134 lorong tambah nilai

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup 134 lorong tambah nilai kad PLUSMiles dan Touch 'n Go di semua plaza tol lebuh raya berkenaan pada 17 hingga 19 Oktober ini bagi melancarkan pergerakan trafik sempena perayaan Deepavali.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata penutupan itu bagaimanapun tidak membabitkan lorong tambah nilai di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor.

"Secara purata, satu transaksi tambah nilai mengambil masa sehingga tiga minit untuk setiap kenderaan. Laluan di plaza tol akan menjadi sesak lebih-lebih lagi menjelang musim cuti sekolah serta perayaan.

"Justeru, penutupan lorong tambah nilai di plaza tol amat perlu bagi mengelakkan kesesakan disebabkan pengguna lebuh raya beratur untuk menambah nilai kad mereka pada musim perayaan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya atau menambah nilai kad di 9,200 lokasi di seluruh negara.

Katanya, PLUS sebelum ini sudah mengambil langkah sama pada musim perayaan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Aidiladha baru-baru ini, malah berhasil mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Berita Harian X