Rabu, 11 Oktober 2017 | 8:41pm

Mampu berbahasa Benggali mudahkan tugas Dr Norherah

KUALA LUMPUR: Kebolehan berbahasa asing, termasuk bahasa Benggali membantu seorang doktor sukarelawan Mercy Malaysia merawat pelarian Rohingya di kem dan penempatan etnik itu di Ukhia, Cox's Bazar, kira-kira dua jam perjalanan dari sempadan Bangladesh-Myanmar.

Ketika petugas perubatan lain memerlukan bantuan penterjemah tempatan untuk berkomunikasi dengan pelarian Rohingya yang membanjiri kem pelarian di Balukhali dan Thangkali, Dr Norherah Syed Omar, tidak ada sebarang masalah untuk bertanya masalah kesihatan pesakit.

Ibu kepada tiga anak berusia antara 18 hingga 24 tahun itu boleh berbahasa Benggali, Nepal dan Tamil dan pernah mengikuti misi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) di Afghanistan, Iran, Darfur (Sudan) dan Gaza (Palestin).

SUKARELAWAN Mercy Malaysia, Dr Norherah Syed Omar ketika merawat pelarian Rohingya di Cox's Bazar. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Katanya, beliau belajar bahasa asing itu kerana selalu berurusan dengan pekerja asing di Malaysia berikutan Klinik Berkat Sentral di Platinum Sentral di ibu negara di mana beliau bertugas, turut memberikan khidmat saringan kesihatan pekerja asing (FOMEMA).

"Ia membantu menjimatkan masa, saya boleh memahami mereka (pelarian Rohingya yang memahami bahasa Benggali) untuk sesetengah perkataan (terma perubatan)," katanya kepada BH Plus di Mercy Malaysia sejurus pulang ke Malaysia 7 Oktober lalu.

Dr Norherah antara tiga sukarelawan Mercy Malaysia yang dihantar ke Cox's Bazar, Bangladesh bagi misi kemanusiaan pelarian Rohingya bermula 28 September lalu. Dua lagi sukarelawan ialah Dr Myelone Tharmaseelan dan pembantu perubatan trauma dan kecemasan, T Sockalingam.

DOKTOR dan pembantu perubatan Mercy Malaysia mula merawat pelarian Rohingya di kem Balukhali, Ukhia, Cox's Bazar. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Wartawan BH yang turut berada di wilayah Cox's Bazar dalam tempoh itu menemui Dr Norherah dan dua lagi sukalerawan Mercy Malaysia ketika mereka berada di klinik statik di kem pelarian tidak rasmi Balukhali, antara dua penempatan tumpuan pelarian Rohingya di Bangladesh selain di Kutupalong.

Lebih setengah juta pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dari Myanmar sejak 25 Ogos lalu susulan operasi Tentera Myanmar di utara Rakhine (Arakan) yang didakwa membabitkan pencabulan hak asasi manusia di mana etnik Rohingya dibunuh, dirogol dan rumah mereka dibakar.

"Mereka hidup dalam serba kekurangan," kata Dr Norherah ketika ditanya mengenai pelarian Rohingya yang beliau rawat selama bertugas di kem dan penempatan pelarian Rohingya di Balukhali dan Thangkali yang terletak di Ukhia, Cox's Bazar.

Dr Norherah berkata sukarelawan merawat secara purata lebih 400 pesakit sehari di Balukhali dan 200 pesakit sehari di Thangkali.

KANAK-KANAK Rohingya diberikan suntikan vaksin bagi mengelakkan dijangkiti penyakit seperti taun, cirit-birit, polio dan hepatitis B di kem Balukhali. - Foto Syed Azwan Syed Ali

"Banyak kes anak kecil demam panas dan alami masalah paru-paru, kita terus rujuk kepada hospital. Ada juga yang suhunya tinggi mencapai 40 darjah Celsius. Kes cirit-birit pula adalah biasa di sini selain jangkitan cacing," kata Dr Norherah yang mula terbabit dengan kerja kemanusiaan sejak 2003.

Wartawan BH mendapati kebolehan Dr Norherah yang boleh berbahasa Benggali yang turut difahami sebahagian besar pelarian Rohingya menyebabkan beliau menjadi tumpuan di klinik statik dibuka dengan kerjasama Mercy Malaysia dan NGO tempatan, COAST.

Di sudut lain, Dr Myelone yang baru berusia 28 tahun serta Sockalingam kelihatan tidak putus-putus melayan pelarian Rohingya yang datang ke klinik statik Mercy Malaysia yang terletak di kawasan utama kem Balukhali, kira-kira 500 meter dari lokasi pengagihan bantuan dikawal Tentera Bangladesh.

"Saya tak pernah lihat keadaan seteruk begini walaupun pernah bekerja dengan pelarian (Sudan). Teruk ini sehingga tiada gambar boleh jelaskan apa yang sebenar berlaku di sini kecuali kita sendiri berada di sini (kem dan penempatan pelarian Rohingya)," kata Dr Norherah yang turut memahami bahasa Pashtun (Afghanistan) dan Parsi (Iran).

DOKTOR dan pembantu perubatan Mercy Malaysia mula merawat pelarian Rohingya di kem Balukhali, Ukhia, Cox's Bazar. - Foto Syed Azwan Syed Ali

INFO: Dr Norherah Omar:

  • Boleh berbahasa Benggali, Nepal dan Tamil..
  • Merawat pelarian Rohingya di kem dan penempatan etnik itu di Ukhia, Cox's Bazar, baru-baru ini..
  • Pernah mengikuti misi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) di Afghanistan, Iran, Darfur (Sudan) dan Gaza (Palestin).

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X