Jumaat, 13 Oktober 2017 | 4:08pm
SHAMSUL Anuar Nasarah. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Jenazah Allahyarham Shyzlin tiba Selasa ini

JOHOR BAHRU: Jenazah Allahyarham Shyzlin Hathaman, mangsa keldai dadah yang meninggal dunia di Peru, Ahad lalu, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang Selasa ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah pada sidang media di rumah waris Allahyarham Shyzlin di Larkin Jaya di sini, hari ini.

Katanya, BiKUM sudah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan Wisma Putra serta kerajaan Peru berkaitan perkara itu.

"Hasil usaha dilakukan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke tanah air dan dijangka tiba selewat-lewatnya petang Selasa ini, kecuali jika jika berlaku perkara di luar jangkaan kita.

"Hari ini, proses menguruskan jenazah termasuk proses mengawet dan menguruskan permit selain urusan mandi serta mengafan sedang giat dilakukan pihak kedutaan untuk urusan membawa pulang jenazah ke tanah air," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kediaman ibu saudara Allahyarham Shyzlin, Robiah Abdullah di Larkin Jaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad. Shamsul Anuar berkata, mengikut perancangan BiKUM, sebaik tiba di KLIA, jenazah akan terus dibawa ke Masjid Larkin untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh.

"Segala kos berkaitan proses membawa pulang jenazah akan ditanggung sepenuhnya BiKUM dengan dibantu Badan Perhubungan UMNO Johor.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Kaunselor Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Kedutaan Malaysia di Peru dan Badan Perhubungan UMNO Johor bagi komitmen dalam menguruskan perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar memaklumkan BiKUM sedang membuat perbincangan dan urusan membawa pulang dua lagi mangsa sindiket dadah antarabangsa yang terkandas di Peru dengan segera dan dijangka selesai akhir tahun ini.

Dua mangsa berkenaan ialah Noor Azimah Sapie dan Noor Suzanna Azmi.

1627 dibaca
Berita Harian X