Jumaat, 13 Oktober 2017 | 4:23pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabeery Chek melancarkan Kumpulan Keselamatan Nelayan Nasional (KESAN) di tapak GNN di Kuala Kertih. - Foto Aswadi Alias
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman (kanan) diiringi oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi (tiga dari kiri) bersama dengan pemenang peserta pertandingan menangkap itik yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan pada Pesta Sukan Air di Gelombang Nelayan Nasional 2017 di Pantai Kuala Kerteh. - Foto Aswadi Alias
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman (kanan) diiringi oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi (dua kanan) melakukan pelepasan peserta pertandingan menangkap itik yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan pada Pesta Sukan Air di Gelombang Nelayan Nasional 2017 di Pantai Kuala Kerteh. - Foto Aswadi Alias

Acara GNN 2017 tawar hadiah lebih RM100,000

CHUKAI: Pelbagai acara sukan air dan pantai, menjadi aktiviti yang memeriahkan suasana sempena program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 yang berlangsung di Pantai Kuala Kertih di sini.

Antara acara yang disediakan termasuk polo air, arca pasir, tangkap itik, badang laut, pukul bantal, tarik tali pantai, bot kawalan jauh, panjat tiang licin, bola tampar pantai dan memancing.

Lebih menarik, aktiviti sukan air anjuran Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sempena GNN di Pantai Kuala Kertih di sini, menyediakan hadiah wang tunai berjumlah lebih RM100,000.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi, berkata hadiah wang tunai paling lumayan disediakan untuk juara pertandingan memancing berjumlah RM45,000 manakala juara badang laut sebanyak RM10,000.

Katanya, pertandingan memancing yang bermula jam 8 pagi ini (Sabtu) dijangka menjadi acara sukan paling meriah dengan penyertaan lebih 2,000 peserta.

"DOF menyasar kira-kira 15,000 pengunjung termasuk nelayan dan penduduk tempatan menyertai 14 acara sukan yang diadakan semalam dan hari ini," katanya.

Beliau ditemui selepas mengiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman melakukan pelepasan pertandingan tangkap itik sempena acara sukan air DOF di Pantai Kuala Kertih, di sini.

Pada pertandingan itu kira-kira 300 nelayan, pengunjung dan penduduk tempatan menyertai pertandingan menangkap itik.

Selepas melakukan pelepasan pertandingan tangkap itik, Tajuddin turut melancarkan program usahawan Tuna Mobilebiz Rezza Express dan produk usahawan Agropreneur Muda Food Cart.

Program GNN yang disertai 20,000 nelayan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak diadakan selama tiga hari mulai kelmarin.

Majlis perasmian penutup program GNN 2017 disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.

128 dibaca
Berita Harian X