Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:54pm
MUHAMMAD Amirul Iman Abdur Rashid, 8, yang kini di bawah jagaan JKM selepas diselamatkan daripada abang ipar yang dipercayai menderanya. - Foto ihsan JKM

JKM kesan waris anak yatim disyaki didera

SEREMBAN: Belum hilang kesedihannya akibat kematian ibu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, disyaki didera pula abang ipar yang sepatutnya menjadi pelindung.

Itu nasib malang Muhammad Amirul Iman Abdur Rashid, yang kini terpaksa berpisah dengan kakak kandungnya yang berusia 20 tahun dan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Seremban, Bahiyah Muhammad, berkata kanak-kanak itu, mula tinggal dengan pasangan berkenaan selepas ibunya yang berusia 40-an, meninggal dunia akibat kanser usus, 24 Julai lalu.

"Dia dijaga pasangan itu kerana bapa kandung yang bercerai dengan ibunya sejak dia kecil tidak dapat dikesan. Bagaimanapun, selepas hampir dua bulan tinggal bersama, dia dipercayai didera beberapa kali sebelum diselamatkan polis pada 25 September lalu.

"Polis menghantarnya yang mempunyai kesan lebam pada mata selain luka pada badan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk pemeriksaan, sebelum JKM dimaklumkan mengenai kes itu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, JKM kemudian mendapatkan perintah jagaan daripada mahkamah mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan) 2016.

Bahiyah berkata, kanak-kanak itu tidak boleh tinggal bersama kakaknya kerana wanita itu turut dipercayai didera suaminya yang kini dalam buruan polis.

Beliau berkata, JKM sedang mengesan waris kanak-kanak itu dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pejabat JKM Daerah Seremban atau Pegawai Pelindung kes, Norsahrisalina Nordin di talian 06-6015819.

9004 dibaca
Berita Harian X