Jumaat, 13 Oktober 2017 | 10:05pm

Media Prima antara syarikat terbaik di Asia

KUALA LUMPUR: Syarikat media bersepadu terunggul di Malaysia, Media Prima Berhad (Media Prima) hari ini diumumkan antara `Syarikat Terbaik di Asia untuk Bekerja' oleh HR Asia.

Media Prima muncul antara 45 syarikat di Malaysia yang diiktiraf dengan anugerah 'Syarikat Terbaik untuk Kerja HR Asia' pada majlis yang diadakan, di sini, hari ini.

Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Nor Arzlin Redzwuan, berkata pengiktirafan itu menegaskan keyakinan Media Prima bahawa pekerja adalah aset terbesar sesebuah syarikat dalam membantu memastikan kejayaan syarikat.

"Penghormatan ini didedikasikan kepada pasukan kepemimpinan kami dan semua pihak di Media Prima terutama pasukan Sumber Manusia (HR) kami.

"Anugerah ini akan merangsang pasukan HR untuk maju ke hadapan dengan dasar inovatif dan program untuk manfaat semua pekerja di Media Prima," katanya yang menerima anugerah bagi pihak syarikat.

HR Asia adalah penerbitan berwibawa di Asia untuk profesional HR kanan dan anugerah itu meliputi 12 pasaran di rantau ini.

Sejumlah 320 syarikat daripada pelbagai industri di Malaysia menyertai anugerah tahun ini, yang menggunakan proses audit yang panjang dan ketat dengan tumpuan pada pembabitan pekerja, budaya kerja dan peluang pembangunan.

Proses penghakiman membabitkan amalan terbaik dan kerja dalaman syarikat dijalankan oleh panel bebas dalam kalangan pakar industri, ahli akademik, wartawan dan wakil kerajaan. Ia adalah anugerah kali kelima diadakan.

Sementara itu, Penerbit Kumpulan dan Ketua Pengarang Business Media International selaku penerbit HR Asia, Datuk William Ng, berkata ia antara kaji selidik yang paling berstruktur dan menyeluruh mengenai pembabitan pekerja dan amalan tempat kerja di rantau ini.

Beliau berkata, menerusi kajian itu, HR Asia mendapati banyak syarikat, sama ada tempatan mahu pun antarabangsa mempunyai amalan tempat kerja yang setanding dengan yang terbaik di dunia.

Kajian itu mengumpulkan maklum balas pekerja bersama dengan komen dan persembahan pengurusan.

Seramai 45 pemenang dijadikan contoh untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang mendorong lebih banyak pembabitan pekerja.

Secara keseluruhan, seramai 9,360 pekerja mengambil bahagian dalam tinjauan berkenaan. Kebanyakan pekerja daripada syarikat yang menang melaporkan bahawa mereka menikmati kepuasan kerja yang tinggi.

Tahun lalu, Jabatan Sumber Manusia Kumpulan Media Prima memenangi pelbagai anugerah.

Antaranya, Anugerah Rekrutmen Sumber Manusia Asia 2016 bagi kategori `Best On-boarding Experience' (anugerah perak) dan kategori Laman Web Kerjaya Terbaik oleh Pasukan HR Syarikat (anugerah gangsa); Anugerah HR Malaysia (Terbaik dalam Inovasi Sumber Manusia (perak)); Anugerah Menteri Sumber Manusia 2016 (Untuk Max Airplay Sdn Bhd).

Jabatan itu turut menerima Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia 2015 dan Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia 2014.

320 dibaca
Berita Harian X