Sabtu, 14 Oktober 2017 | 2:45pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Malaysia tidak import produk Ba Shu Hotpot

PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengimport produk makanan periuk panas segera (instant hotpot) mengandungi daging yang dikenali sebagai Ba Shu Hotpot atau Ba Shu Lan Ren, yang turut dilarang pengimportannya di Singapura.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berdasarkan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) yang dikendalikan Kementerian Kesihatan.

"Berdasarkan FoSIM, tiada pengimportan bagi produk daripada syarikat terbabit ke negara ini.

"Semua makanan yang diperbuat atau diimport ke negara ini perlu mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas artikel dalam akhbar The Straits Times, Singapura bertarikh 9 Oktober lalu, yang melaporkan Agri-Food and Veterinary Authority (AVA) Singapura melarang pengimportan produk periuk panas segera mengandungi daging yang juga dikenali sebagai Ba Shu Hotpot atau Ba Shu Lan Ren dari Chengdu, China.

Akhbar itu memaklumkan, AVA Singapura hanya membenarkan pengimportan produk makanan yang mengandungi daging daripada sumber yang diluluskan oleh pihaknya saja.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Katanya, jika pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, boleh berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://moh.spab.gov.my

Berita Harian X