Sabtu, 14 Oktober 2017 | 2:51pm
PESERTA menyertai bengkel lukisan figura hidup anjuran Media Prima di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar. - Foto Saifullizan Tamadi
PELUKIS Datuk Azman Yusoff (kiri) dan Jaafar Taib (kanan) bersama peserta yang menyertai bengkel lukisan figura hidup anjuran Media Prima di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar. - Foto Saifullizan Tamadi

Bengkel bersama-sama pelukis terkenal di Galeri Prima

KUALA LUMPUR: Seramai 50 peserta berpeluang menyertai bengkel lukisan figura hidup bersama tiga pelukis terkenal di Galeri Prima, hari ini.

Peserta berpeluang menimba ilmu bersama Datuk Azman Yusoff, Jaafar Taib dan Haron Mokhtar.

Bengkel anjuran Galeri Prima itu diadakan bersempena Pameran Koleksi Peribadi Sultan Selangor yang berlangsung sehingga 20 Oktober depan.

Azman berkata, melukis figura hidup adalah satu cabaran buat pelukis baru dan ia sangat penting untuk pelajaran mereka.

"Untuk memulakan lukisan seseorang itu perlu mahir dalam melukis figura hidup.

"Ini kerana melukis figura hidup akan membuatkan mereka berdepan rasa gemuruh dan sekiranya mampu mengatasinya dan boleh melukis di depan orang ramai secara langsung ia akan menjadi tiket untuknya berjaya di masa akan datang," katanya.

Program yang berlangsung selama tiga jam itu, mendedahkan peserta dengan berbagai teknik melukis figura hidup seperti struktur, karakter dan lukisan daripada pelbagai sudut.

Pada bengkel ini peserta diajar melukis objek dalam masa singkat yang memerlukan kepantasan tangan dan fokus penglihatan.

Peserta yang menyertai bengkel berkenaan terdiri daripada pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan peminat seni.

Berita Harian X