Sabtu, 14 Oktober 2017 | 6:57pm
SULTAN Ibrahim bertitah pada Majlis Konvokesyen Ke-17 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di Batu Pahat, hari ini. - Foto Adi Safri
SULTAN Ibrahim bertitah pada Majlis Konvokesyen Ke-17 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di Batu Pahat, hari ini. - Foto Adi Safri

JAINJ perlu henti berurusan dengan JAKIM

BATU PAHAT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) supaya berhenti berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Baginda bertitah, JAKIM juga tidak perlu lagi memberi pandangan kepada Johor membabitkan hal ehwal agama Islam.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas tindakan Pegawai kader JAKIM di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Zamihan Mat Zin, yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Johor.

"Sebelum ini beberapa mufti dan pakar agama mengeluarkan pandangan dan hujah mereka mengenai isu dobi yang meletak papan tanda mesra Muslim di Muar.

"Malangnya, ada seorang penceramah, Ustaz Zamihan Mat Zin yang kritik tindakan saya dan perlekehkan mufti. Gaya cakapnya cukup angkuh dan sombong seolah-olah dia saja yang betul sehingga mencerca bangsa lain.

"Saya anggap dia seperti tin kosong dan tak ada otak. Selepas dikecam orang ramai dia menafikan pula menyebut perkara itu.

"Kalau betul dia penceramah JAKIM, saya tidak tahu dari mana JAKIM pungut dia.

"Selepas ini, saya arahkan JAINJ tidak perlu lagi membuang masa berurusan dengan JAKIM.

"Bagaimanapun saya tidak mahu perkara ini dipanjangkan lagi. Saya maafkan dia (Zamihan) . Nasihat saya jagalah adab dan tutur kata bila bercakap di khalayak ramai. Kalau nak beri pandangan, saya akan dengar tapi bukan dengan cara yang kurang ajar.

"Semua orang harus tahu urusan agama Islam adalah di bawah kuasa negeri sebagaimana termaktub di dalam Perjanjian Persekutuan. Jangan kerana kesilapan seorang individu merosakkan perjanjian yang sudah dibuat, ibarat kata pepatah kerana nila setitik, rosak susu sebelangga," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah berkenaan pada Majlis Konvokesyen Ke-17 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) kepada pakar dalam bidang Internet of Things (IoT), Dr Mazlan Abbas bagi menghargai sumbangan beliau dalam pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan teknologi serta inovasi negara.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga Pro Canselor UTHM; Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dr Jamilus Md Hussin dan Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 4,272 siswazah menerima sijil dan ijazah masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (81), Sarjana (341), Sarjana Muda (3,260) dan Diploma (590).

Berita Harian X