Sabtu, 14 Oktober 2017 | 7:48pm
ABDUL Fattah (kanan) bersalam dengan peserta seminar yang hadir di Program Seminar Audit Dalaman Koperasi 2017 di TH Hotel. - Foto Sharul Hafiz Zam

Bajet 2018: ANGKASA minta turun cukai pendapatan

ALOR SETAR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meminta supaya kerajaan dapat menurunkan cukai pendapatan sektor itu sebanyak tiga peratus.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata cukai pendapatan sektor itu diharap dapat diturunkan daripada 24 kepada 21 peratus pada pembentangan bajet 2018 tidak lama lagi.

Beliau berkata, selain cukai terbabit, koperasi turut diwajibkan menyumbang kepada Tabung Pembangunan dan Pendidikan Koperasi sebanyak tiga peratus sejak 1993.

"Jumlah keseluruhan cukai pendapatan termasuk tabung terbabit yang koperasi perlu bayar sekarang ialah 27 peratus, sekali gus melebihi sektor korporat yang hanya perlu membayar cukai pendapatan 24 peratus.

"Ia sangat membebankan kami sedangkan sekiranya ia dapat diturunkan kepada 21 peratus, wang lebihan tiga peratus itu akan dapat digunakan untuk menjana modal perniagaan lebih besar kepada 13,428 koperasi seluruh negara," katanya.

Terdahulu, Abdul Fattah merasmikan Seminar Audit Dalamam Koperasi 2017 "Tadbir Urus Cukai & Intergriti Dalam Koperasi" di TH Hotel yang dihadiri 460 peserta daripada negeri zon utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Selain itu, ANGKASA turut berharap kerajaan  dapat menambah peruntukkan Tabung Modal Pusingan Perniagaan Koperasi kepada RM500 juta, supaya koperasi boleh menjalankan perniagaan yang menguntungkan anggotanya.

Katanya, pada tahun lalu, ANGKASA hanya menerima peruntukkan terbabit sebanyak RM50 juta, berbanding RM150 pada tahun sebelum ini.

"Peruntukkan ini sangat penting untuk memperkasa dan menjana pendapatan koperasi, koperasi yang ada sekarang sudah menjalankan perniagaan berimpak tinggi, jadi kami memerlukan modal yang besar.

"Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan yang mensasarkan perolehan koperasi sebanyak RM50 billion pada 2020," katanya.

531 dibaca
Berita Harian X