Ahad, 15 Oktober 2017 | 4:25pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersama Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha (kanan).. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

JAKIM hantar surat mohon menghadap Sultan Johor

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dijangka mengutuskan surat mohon menghadap dan permohonan maaf berhubung isu pegawai kadernya kepada Sultan Johor, hari ini.

Tindakan segera JAKIM bertujuan menjelaskan situasi sebenar isu Zamihan Mat Zain, yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Ibrahim Iskandar ketika menyampaikan ceramah mengenai isu dobi mesra Muslim seperti yang viral di media sosial.

Jurucakap JAKIM berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha akan segera menghadap selepas mendapat perkenan baginda.

"Surat dijangka diutus hari ini. Insya-Allah, Menteri dan Ketua Pengarah akan menghadap. Jadi tunggu perkenan Tuanku," katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim bertitah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) supaya berhenti berurusan dengan JAKIM.

Baginda turut bertitah, JAKIM juga tidak perlu lagi memberi pandangan kepada Johor membabitkan hal ehwal agama Islam.

Pada 11 Oktober lalu, JAKIM merujuk Zamihan, yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) kepada Lembaga Tatatertib jabatan.

Bagaimanapun keputusan hasil siasatan masih belum diputuskan.

Berita Harian X