Ahad, 15 Oktober 2017 | 10:41pm
KEHADIRAN kereta sapu dari wilayah Indonesia jejas pendapatan pengusaha van sewa tempatan. - Foto Nadim Bokhari

Sempadan Kalimantan/Malaysia bolos

SERIAN: Cukup sekadar menggunakan kata kunci, 'Hello Boss, sudah makan ka...' berserta simbol isyarat tangan tertentu, pemandu kereta sapu dari Kalimantan Barat, Indonesia bebas keluar masuk pintu sempadan Tebedu-Entikong, di sini, saban hari.

Mereka seolah-olah memiliki 'lesen besar' melintasi sempadan kedua-dua wilayah tanpa perlu menjalani pemeriksaan rapi, khusus bagi membawa warga negara jiran itu berulang-alik antara kedua-dua wilayah, sama ada untuk bekerja atau menjalani rawatan kesihatan di negeri ini.

Tidak cukup dengan itu, pemandu kereta sapu, kebanyakannya menggunakan Toyota Kijang, model kenderaan pelbagai guna (MPV) paling popular di Indonesia, turut membuka transit haram berhampiran pintu sempadan bagi menurun dan mengambil penumpang mereka.

Tinjauan BH mendapati sekurang-kurangnya 40 hingga 50 kereta sapu terdiri daripada Toyota Kijang, selain kereta sedan bernombor pendaftaran Malaysia tetapi dimiliki warga Indonesia, beroperasi secara haram sepanjang tempoh pintu sempadan dibuka dari jam 6 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Malah, kegiatan itu yang berleluasa sejak lima tahun lalu turut menjejaskan sumber pendapatan lebih 70 pengusaha van dan kereta sewa berdaftar di Tebedu, di sini, yang bergantung sepenuhnya kepada perniagaan berkenaan.


PONDOK Polis dihadapan pintu masuk sempadan. - Foto Nadim Bokhari

KEHADIRAN kereta sapu dari wilayah Indonesia jejas pendapatan pengusaha van sewa tempatan. - Foto Nadim Bokhari

Lebih mengecewakan, tiada langsung tindakan tegas diambil oleh agensi berkaitan, khususnya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sumber memberitahu BH, pemandu kereta sapu itu mengenakan caj antara RM6 hingga RM30 bagi setiap penumpang, bergantung kepada destinasi penghantaran dan pengambilan di Sarawak, dengan ada di antara mereka mampu mengaut keuntungan antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan.

"Malah, jumlah keuntungan dikaut pemandu kereta sapu itu berlipat ganda berbanding pengusaha kereta sewa berdaftar di negeri ini yang cuma memperoleh antara RM70 hingga RM75 sehari.

"Caj dikenakan kereta sapu lebih tinggi berbanding pengusaha kereta sewa berdaftar. Mereka begitu berani melakukan kegiatan haram itu kerana sikap sambil lewa agensi berkaitan dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata, ada di antara pengusaha kereta sapu itu menjalankan operasi haram mereka sehingga melebihi jarak 100 kilometer dari pintu sempadan Tebedu-Entikong, malah ada yang berani membawa penumpang hingga ke Sibu, Bintulu dan Miri, lokasi yang mempunyai ramai pekerja Indonesia.

"Bagi pemandu kereta sapu itu, mereka sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah mengambil dan menurunkan penumpang kerana tahu tiada tindakan akan diambil. Ini juga jelas memperlihatkan 'kelonggaran' yang cukup serius di pintu sempadan negara," katanya.


KEHADIRAN kereta sapu dari wilayah Indonesia jejas pendapatan pengusaha van sewa tempatan. - Foto Nadim Bokhari

KEHADIRAN kereta sapu dari wilayah Indonesia jejas pendapatan pengusaha van sewa tempatan. Warga asing memandu kereta Malaysia miliknya yang dibeli tunai, mengguna nombor pendaftaran tempatan masuk ke dalam Pos Kawalan Imigresen. - Foto Nadim Bokhari

Sumber berkata, paling membimbangkan bukan hanya pendapatan rakyat tempatan terjejas, tetapi kemasukan anasir tertentu yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam, termasuk penyeludupan manusia dan pelbagai bahan terlarang seperti senjata api dan dadah.

"Pernah ada kes seorang wanita warga negara jiran, yang berlagak seperti wanita hamil ditahan pihak berkuasa sempadan kerana menyembunyikan bungkusan dadah. Ini yang kita bimbang apabila pengusaha kereta sapu itu turut bersekongkol dengan sindiket tertentu melakukan jenayah rentas sempadan," katanya.

Sumber juga tidak menolak kemungkinan kehadiran kereta sapu yang bebas melintasi sempadan kedua-dua wilayah menyumbang kepada peningkatan kes jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan pelbagai barangan bersubsidi dari negara ini ke wilayah berjiran.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kereta Sewa Daerah Serian, Jimmey Behon menyifatkan kegiatan kereta sapu sebagai `gila' kerana seolah-olah tiada peraturan atau undang-undang dikuatkuasakan di pintu sempadan.

"Mereka sewenang-wenangnya beroperasi mengambil dan menurunkan penumpang. Lebih menyakitkan hati kami (pengusaha kereta sewa), pihak bertanggungjawab seolah-olah menutup mata membiarkan mereka beroperasi sejak 2013.

"Sudah beberapa kali isu ini diadukan kepada agensi berkaitan, namun tiada tindakan susulan. Kami tiada pilihan lain kecuali mendedahkannya kepada media kerana kegiatan itu benar-benar menjejaskan periuk nasi kami, selain didorong rasa bimbang terhadap aspek keselamatan," katanya kepada BH, di sini.


BEG penumpang yang diletak di tempat mengambil dan menurunkan penumpang. - Foto Nadim Bokhari

Katanya, agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab terhadap isu itu seolah-olah `berlembut' dengan pemandu kereta sapu berkenaan sehingga membiarkan mereka berleluasa.

"Dengan duit dari menambang (mengambil dan menurunkan penumpang), kami membeli beras untuk keluarga makan, memperbaharui cukai jalan setiap tiga kali setahun, menghantar kenderaan ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dua kali setahun. Semuanya berbayar, bukannya percuma.

"Namun, apa tindakan pihak berkuasa? Tidak cukup dengan itu, pengusaha kereta sewa terpaksa menanggung beban membeli alat ganti kenderaan tanpa sebarang subsidi diberikan. Sudah letih kami cuba mencari jalan penyelesaian, namun kegiatan haram itu terus berleluasa," katanya.

Pihak LPKP dan JPJ gagal dihubungi untuk ulasan lanjut.

INFO

  • 40-50 kereta sapu beroperasi di sempadan Tebedu-Entikong.
  • 12 jam tempoh melakukan 'operasi haram'.
  • RM6-RM30 caj dikenakan kepada setiap penumpang (tertakluk kepada destinasi).
  • RM7,000-RM10,000 sebulan purata keuntungan pemandu kereta sapu.
Berita Harian X