Isnin, 16 Oktober 2017 | 3:08pm
ZAHID tiba di kem pelarian Rohingya di Kutupalong. - Foto Mohd Anwar Patho Rohman
ZAHID beramah mesra dengan kanak-kanak di kem pelarian Rohingya di Kutupalong. - Foto Mohd Anwar Patho Rohman
ZAHID melawat kem pelarian Rohingya di Kutupalong. - Foto Mohd Anwar Patho Rohman

RM3.5 juta bina hospital di Kutupalong

COX'S BAZAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebuah hospital medan bernilai RM3.5 juta akan dibina di kem pelarian Kutupalong bagi memberi rawatan kesihatan kepada pelarian Rohingya, di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang menunggu prosedur yang ditetapkan kerajaan Bangladesh walaupun kebenaran sudah diperoleh daripada Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang diserahkan menerusi Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

"Kerajaan Malaysia melalui Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina sebuah hospital medan yang boleh memuatkan 50 orang pesakit.

"Kementerian Kesihatan akan bersama-sama untuk membantu dari segi (menyediakan) 35 kepakaran merangkumi doktor, jururawat serta pembantu perubatan yang akan berada di sini.

"Kita juga menggalakkan individu sama ada jururawat, doktor, pembantu hospital untuk berdaftar dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan menyelaras kedatangan doktor ini untuk datang ke Cox's Bazar ini untuk membantu di hospital ini apabila siap nanti," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas meluangkan masa selama satu jam melawat kem pelarian Rohingya di sini, hari ini.

Yang turut mengiringi beliau ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

SEBAHAGIAN pelarian Rohingya menantikan bantuan di Kem Ghundum, Ukhiya. - Foto BERNAMA

Berita Harian X