Isnin, 16 Oktober 2017 | 4:50pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalam dengan pelarian Rohingya ketika tiba di penempatan mereka di Kem Kutupalong hari ini. - Foto ihsan Twitter Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Zahid pilu lihat kem pelarian Rohingya

COX'S BAZAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui kem pelarian Rohingya di Kutupalong di sini terlalu daif berbanding kem pelarian yang pernah beliau lawat di negara lain sebelum ini.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri mengajak rakyat Malaysia terus menghulur bantuan untuk pelarian Rohingya.

Katanya, mereka tidak perlu bimbang sumbangan itu tidak sampai kepada pelarian kerana ia diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ini bukan lawatan pertama saya ke kem pelarian. Saya sudah ke beberapa negara seperti melawat pelarian Palestin di Asia Barat.

"Keadaan di sini lebih daif pada hemat saya dan ia bukan kerana masalah agama.

"Kita lihat Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem. Beliau beragama Kristian tetapi prihatin bersama saya kerana ini bukan soal agama tetapi kemanusiaan.

"Oleh kerana keadaan di sini terlalu daif, saya ajak rakyat Malaysia terus menghulur bantuan. Bantuan diselaras MKN, jadi saya tidak fikir derma ini tidak sampai kepada pihak sepatutnya.

"MKN akan pastikan bantuan itu sampai kepada golongan sasar," katanya ketika melawat kem berkenaan yang turut disertai Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Ahmad Zahid antara pemimpin tertinggi ASEAN yang melawat kem pelarian di Kutupalong yang menempatkan lebih 500,000 pelarian Rohingya.

Timbalan Perdana Menteri kemudian melawat Masjid Baitul Sallah di selatan Kuthubdia yang dibina MyCorps serta memberi sumbangan RM20,000 kepada jawatankuasa pengelola masjid.

Beliau yang turut mengimamkan solat Zuhur di masjid itu, amat berbesar hati dengan seorang penderma yang sudi menyumbang RM420,000 kepada lima badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia.

"Lima NGO itu komited membantu pelarian Rohingya di sini. Agihan sumbangan diselaras MKN supaya NGO dari Malaysia dapat memberi barang keperluan.

"Ini kerana sumbangan makanan diuruskan Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Pertubuhan Migrasi Dunia (IOM)," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berterima kasih kepada pemimpin NGO yang prihatin dengan nasib pelarian Rohingya di sini.

Berita Harian X