Isnin, 16 Oktober 2017 | 9:31pm

KPKT, Kementerian Kesihatan perkasa khidmat bantuan kecemasan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memeterai perjanjian bersama Kementerian Kesihatan untuk memperkasa Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS).

Perjanjian antara lain bagi mempertingkatkan tindak balas ambulans kecemasan, ambulans interfasiliti, perkhidmatan pasukan perlindungan perubatan dan pengurusan bencana termasuk insiden berskala besar.

KPKT dalam satu kenyataan hari ini, berkata perkhidmatan pra hospital dan ambulans itu adalah perkhidmatan utama diberikan kepada pesakit sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Perkhidmatan ini akan dilakukan di 21 Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan (PKPK) di seluruh negara. Kerjasama ini diyakini dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Majlis menandatangani perjanjian disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Mohammad Mantek dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Kerjasama itu secara tidak langsung dapat memastikan mangsa yang tercedera atau trauma akibat kemalangan akan mendapat rawatan lebih awal.

"Selain itu, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan boleh bertugas di balai bomba serta bergerak bersama EMRS ke lokasi kejadian bagi memberikan perkhidmatan kecemasan.

"Sama juga dengan pasukan EMRS, boleh ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma dan boleh ikut ke lokasi kejadian bagi memberikan perkhidmatan," katanya.

Berita Harian X