Selasa, 17 Oktober 2017 | 11:15am
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat penempatan pelarian Rohingya di Kem Kutupalong, semalam. -Foto BERNAMA

MKN dicadang koordinasi bantuan di kem pelarian Rohingya

COX'S BAZAR: Menyedari yang masalah pelarian Rohingya akan menjadi isu kemanusiaan berpanjangan, kerajaan bercadang menjadikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai koordinator dalam urusan pengagihan bantuan dan sumbangan kepada golongan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata seorang Atase Kebajikan juga dicadang ditempatkan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Dhaka bagi memantau dan memastikan setiap bantuan kemanusiaan itu sampai kepada pelarian Rohingya.

"Hasil lawatan ke kem pelarian Rohingya di Kutupalong, Malaysia mengunjurkan permasalahan ini adalah masalah kemanusiaan yang akan berpanjangan. Ia satu usaha yang tidak boleh diselesaikan oleh pihak Bangladesh sahaja, tetapi memerlukan bantuan daripada negara sahabat yang lain.

"Untuk itu, saya akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri khususnya melalui perbincangan bersama Perdana Menteri supaya MKN akan menjadi koordinator kepada semua bantuan yang datang daripada pelbagai pihak dan kerajaan sendiri.

"Ia termasuk cadangan pembinaan hospital medan yang akan dibina Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kesihatan dan Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kerjasama dengan media yang mengumpul semua bantuan untuk disalurkan kepada pelarian.

"Melalui usaha MKN, bantuan akan dibahagi dan diagih kepada NGO Malaysia yang bergerak di Bangladesh serta badan kebajikan lain yang mengambil peduli kebajikan orang Rohingya ini," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan wang kepada dua NGO, Majlis Pertubuhan Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Dalam lawatannya ke kem pelarian Rohingya di Kutupalong, Ahmad Zahid turut merumuskan masalah kemanusiaan ini (pelarian Rohingya) memerlukan penyelesaian melalui kolaborasi antara negara ASEAN memandangkan Myanmar adalah negara anggota.

Katanya, Malaysia tidak berhasrat campur tangan dalam hal ehwal negara berkenaan namun apa yang berlaku kepada etnik Rohingya di Rakkhine adalah masalah kemanusiaan yang menjadi masalah serantau dan isu sejagat.

"Kerana itu, Malaysia melalui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpendirian tegas agar Myanmar menyelesaikan masalah ini dan dibantu badan antarabangsa," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa ini perbincangan diplomatik dan diplomasi ketenteraan dengan kerajaan Myanmar giat dijalankan agar pihak yang melakukan keganasan terhadap etnik Rohingya dikenakan tindakan.

"Saya tidak perlu menyebutkan secara terperinci usaha diplomatik dan diplomasi ketenteraan yang kita lakukan.

"Kita telah dan sedang mengusahakan agar pihak yang terbabit (menyerang etnik Rohingya dikenakan tindakan) terutama pemimpin tentera Myanmar yang (didakwa) mengetuai unit tertentu untuk mengatasi permasalahan yang kononnya berlaku kumpulan yang menentang Yangon atau pentadbiran pusat dalam perkara ini," katanya.

Berita Harian X