Rabu, 18 Oktober 2017 | 12:52pm
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memotong kek sambutan Deepavali anjuran Malaysia India Congres (MIC) di Batu Caves hari ini. Turut hadir (dari dua kiri) Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri SK Devasamy, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.- Foto BERNAMA
PELARIAN Rohingya beratur di klinik sementara untuk mendapatkan ubat di Kem Ghundum di Ukhiya.- Foto BERNAMA

60 pegawai perubatan Malaysia dihantar ke Bangladesh

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 60 pegawai perubatan Malaysia pelbagai bidang terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan lain, akan dihantar untuk berkhidmat di hospital medan yang akan dibina di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata ketika ini, semua pegawai perubatan berkenaan sudah bersiap sedia untuk dihantar ke negara terbabit pada bila-bila masa.

Katanya, tiada tempoh tertentu ditetapkan bagi pegawai perubatan Malaysia berkhidmat di kem pelarian berkenaan dan ia bergantung sepenuhnya kepada berapa lama mereka diperlukan di sana.

"Jika perkhidmatan pegawai perubatan Malaysia diperlukan dalam tempoh yang agak lama, kita berkemungkinan akan menghantar mereka secara bergilir-gilir.

"Kementerian Kesihatan telah melaksanakan segala persiapan untuk pergi ke sana dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ini adalah bantuan kemanusiaan dengan kumpulan masyarakat di mana-mana lokasi di dunia yang memerlukan berdasarkan kemampuan kita," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Batu Caves dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan Kementerian Kesihatan susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dua hari lalu bahawa hospital medan bernilai RM3.5 juta akan dibina di kem pelarian Rohingya di Bangladesh bagi memberi rawatan kesihatan kepada mereka.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Malaysia sedang menunggu prosedur yang ditetapkan kerajaan Bangladesh walaupun kebenaran sudah diperoleh daripada Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang diserahkan menerusi Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

Subramaniam berkata, pihaknya belum menetapkan kem pelarian di Cox's Bazar yang akan menjadi lokasi perkhidmatan pegawai perubatan Malaysia kerana sedang menunggu cadangan daripada kerajaan Bangladesh.

Berita Harian X