Rabu, 18 Oktober 2017 | 6:37pm
BILIONAIR yang juga pengasas YTL Corp, Tan Sri Yeoh Tiong Lay, meninggal dunia hari ini pada usia 88 tahun. - Foto fail NSTP

Pengasas YTL meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pengasas Kumpulan YTL, Tan Sri Yeoh Tiong Lay, meninggal dunia pada usia 88 tahun, semalam.

Tiong Lay mula membina empayar perniagaannya pada usia 22 tahun, apabila menyelesaikan projek pertamanya dan meraih keuntungan RM5,000 - keuntungan yang dianggap sangat baik ketika itu pada tahun 1950-an.

Sejak itu, beliau meneruskan kerjayanya di sektor pembinaan dan memperluas kehadiran Kumpulan YTL di sektor lain yang mana kini adalah satu daripada konglomerat terbesar yang tersenarai di Bursa Malaysia, dengan kepentingan perniagaan dari pembinaan, penjanaan kuasa, perhotelan, pembangunan hartanah dan telekomunikasi.

Ahli keluarga mendiang, dalam satu kenyataan, memaklumkan mereka bersedia menerima kunjungan saudara dan rakan yang ingin memberikan penghormatan terakhir bermula jam 7 malam ini di alamat No 2 Lorong Buloh Perindu 1, Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu, perhimpunan ahli keluarga dan kenalan juga akan diadakan pada Khamis, Jumaat dan Sabtu pada jam 8.30 malam.

Pengebumian pula akan diadakan pada Ahad bermula jam 10 pagi dan kemudian bertolak ke Nilai Memorial Park pada jam 12 tengah hari.

Ahli keluarga mendiang turut menzahirkan dukacita di atas pemergian bilionair itu.

"Kami sangat sedih dengan kehilangan ketua keluarga kami, Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay, tetapi akur bahawa dia kembali ke pangkuan pencipta.

"Kami adalah generasi keempat yang mempunyai keistimewaan merasai kehadirannya selama 88 tahun dan dia benar-benar akan dirindui," kata ahli keluarganya dalam kenyataan itu.

Tiong Lay banyak berjasa dan membawa Kumpulan YTL berkembang pesat merangkumi operasi dan projek di Malaysia serta di peringkat dunia.

Pengarah Urusan YTL Corp, Tan Sri Dr Francis Yeoh Sock Ping, berkata pihaknya berasa sedih dengan kehilangan bapa dan juga pengasas Kumpulan YTL yang disifatkan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dan sentiasa ingin memastikan pertumbuhan serta kemampanan syarikat demi kepentingan untuk keluarga, pekerja, rakan kongsi perniagaan, komuniti yang lebih meluas serta generasi warisannya.

"Etika kerja beliau menjadi teladan dan mencerminkan ketokohan kepimpinannya. Kami akan sentiasa merinduinya," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Tiong Lay dilantik dalam Lembaga Pengarah Kumpulan YTL pada 24 Jun 1984 dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif pada 24 Januari 1985.

Beliau menerima banyak pengiktirafan sama ada di peringkat nasional, mahupun antarabangsa termasuk menerima anugerah Doktor Kejuruteraan dari Universiti Heriot-Watt, Edinburgh.

Selain itu, pada 19 Januari 2008, beliau juga menerima anugerah berprestij 'Order of the Rising Sun' daripada Maharaja Jepun sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlangnya terhadap kerjasama ekonomi serta hubungan baik antara Jepun-Malaysia, selain usaha beliau sebagai ahli eksekutif dan Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun.

Mendiang meninggalkan isteri, Puan Sri Tan Kai Yong dan tujuh anak.

Info:

  • Tiong Lay mengasaskan YTL pada 1955 sebagai syarikat pembinaan kecil.
  • Syarikat itu menjadi konglomerat terbesar Malaysia dengan menjalankan perniagaan merangkumi teknologi, hotel, utiliti, pembinaan dan pengurusan harta.
  • Menurut Forbes, Tiong Lay mempunyai harta bersih berjumlah AS$2 bilion (RM8.2 bilion) menjadikannya individu ketujuh terkaya di Malaysia.

8425 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »