Rabu, 18 Oktober 2017 | 9:11pm

Bahana kanta lekap kosmetik

PUTRAJAYA: Lambakan kanta lekap kosmetik yang dijual berleluasa di negara ini berisiko memudaratkan penggunanya termasuk menyebabkan buta.

Lebih membimbangkan, kebanyakan kanta lekap yang boleh diperoleh dengan mudah secara dalam talian atau dijual semurah RM10 di pasar malam tidak didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan mengikut Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

Antara risiko yang terpaksa ditanggung ialah jangkitan pada mata dan paling bahaya, hilang deria penglihatan.

Mengikut Akta Optik 1991, hanya optometris dan juruoptik diperakui dan disahkan Kementerian Kesihatan boleh menjual kanta lekap.

TINJAUAN penjualan kanta lekap di sekitar ibu kota. - Foto NSTP

Penjual kanta lekap yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 bagi kesalahan pertama dan penjara enam bulan bagi kesalahan seterusnya.

Bagaimanapun, kanta lekap kosmetik tanpa kuasa tidak dilindungi oleh Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan Akta Optik 1991, menyebabkan kanta lekap itu mudah didapati dari penjual tidak sah di pasar malam, bazar, jualan dalam talian dan di kiosk pusat beli-belah.

Setiausaha Majlis Optik Malaysia (MOM), Nor Azizah Ismail, berkata penggunaan kanta lekap memerlukan pemeriksaan mata yang komprehensif.

"Kanta lekap tidak sepatutnya dijual kepada pengguna tanpa pemeriksaan mata oleh pakar atau optometris bertauliah kerana kanta lekap sama ada terapeutik (berkuasa) atau kosmetik dibuat daripada bahan sama iaitu menggunakan silikon hidrogel.

TINJAUAN penjualan kanta lekap di sekitar ibu kota. - Foto NSTP

"Kedua-dua jenis kanta ini boleh menimbulkan komplikasi yang sama kepada mata pengguna dan berisiko menghidap ulser kornea (radang mata) sehingga boleh menyebabkan pengguna buta jika dipakai tanpa pengawasan pakar," katanya. 

Nor Azizah berkata, pihak berkuasa sukar mengambil tindakan terhadap penjual kanta lekap kosmetik kerana produk itu tidak diwartakan sebagai peranti perubatan selain kurang mendapat aduan orang awam.

Katanya, walaupun buat masa ini kanta lekap kosmetik tidak diwartakan sebagai peranti perubatan, MOM memandang serius penjualan produk itu sewenang-wenangnya kerana boleh memudaratkan pengguna.

"Pemakaian kanta lekap ibarat memakai kasut kerana ia mempunyai saiz tertentu mengikut mata pengguna. Kanta yang ketat akan menyebabkan oksigen tidak sampai ke kornea dan akhirnya mengakibatkan berlaku ulser kornea.

KEBANYAKAN kanta lekap yang boleh diperoleh dengan mudah tidak didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan.

"Justeru, kerajaan perlu mewartakan kanta lekap kosmetik sebagai peranti perubatan, sekali gus memudahkan pihak berkuasa memantau penjualan produk itu," katanya.

Ketika ini terdapat dua jenis kanta lekap iaitu polymethylmethacrylate (PMMA) yang tebal dan keras, serta hidrogel lembut yang direka bagi membolehkan lebih banyak penyerapan oksigen ke dalam mata.

Jenis PMMA digunakan secara meluas ketika kanta lekap baru diperkenalkan suatu masa dulu sebelum jenis hidrogel mengambil tempat.

Material sama yang digunakan pada kanta lekap kosmetik namun kualiti dan pewarna yang digunakan tidak diketahui kerana ia tidak mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat.

SETIAUSAHA Majlis Optik Malaysia (MOM), Nor Azizah Ismail. - Foto Mohd Fadli Hamzah

INFO

Individu yang tidak boleh memakai kanta lekap:

- Orang yang mengalami alahan.

- Pesakit diabetes.

- Masalah mata kering yang teruk.

- Mereka yang tidak dapat mengikuti arahan pemakaian kanta lekap yang selamat.

- Mereka yang bekerja di persekitaran tercemar dengan habuk atau bahan kimia.

- Mereka yang gagal mempamerkan tahap kebersihan tinggi.

Tanda dan gejala ulser kornea:

- Pesakit yang mendapat ulser kornea merasai sakit mata yang teruk, rasa berpasir, mata menjadi merah, berair, sensitif pada cahaya dan penglihatan menjadi kabur.

- Tanda-tanda pada kornea bergantung kepada peringkat jangkitan ketika pesakit datang untuk mendapatkan rawatan.

- Tanda ulser kornea ialah wujudnya ulser berwarna putih di lapisan kornea.

- Setiap ulser kornea sama ada bakteria, kulat, virus dan protozoa mempunyai tanda klinikal berlainan.

- Ulser yang teruk akan menyebabkan pengumpulan nanah di ruang depan mata dan sekiranya lewat, jangkitan ini boleh menyebabkan lapisan kornea menjadi bocor.

Berita Harian X