Khamis, 19 Oktober 2017 | 5:26pm
PENGASAS Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Yeoh Tiong Lay. - Foto Asyraf Hamzah

Tan Sri Yeoh beri sumbangan besar: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, masyarakat Cina di negara ini memperoleh manfaat besar dalam bidang ekonomi dan pendidikan hasil sumbangan pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Yeoh Tiong Lay.

"Tan Sri Yeoh Tiong Lay membina empayar perniagaan yang berjaya dan memberi sumbangan besar kepada masyarakat Cina Malaysia termasuk pendidikan. Bersemadilah dengan tenang," kata Perdana Menteri menerusi akaun Twitter rasminya, hari ini.

Tiong Lay, 88, meninggal dunia kelmarin dan akan disemadikan pada Ahad ini.

Mendiang mula membina empayar perniagaannya ketika berusia 22 tahun apabila menyelesaikan projek pertamanya dan meraih keuntungan RM5,000.

Ia adalah keuntungan yang dianggap sangat baik pada era 1950-an.

Sejak itu, mendiang meneruskan kerjaya dalam sektor pembinaan dan memperluas kehadiran Kumpulan YTL di sektor lain.

Kini, ia adalah antara konglomerat terbesar yang tersenarai di Bursa Malaysia dengan kepentingan perniagaan daripada pembinaan, penjanaan kuasa, perhotelan, pembangunan hartanah dan telekomunikasi.

542 dibaca
Berita Harian X