Khamis, 19 Oktober 2017 | 11:25pm
RISIKO penggunaan kanta lekap kosmetik tanpa kuasa yang boleh menyebabkan jangkitan ulser kornea sekali gus buta. - Foto hiasan
TINJAUAN penjualan kanta lekap di sekitar ibu kota. - Foto NSTP
TABIAT memakai kanta lekap dengan cara yang salah antara faktor menyumbang kepada jangkitan ulser kornea. - Foto hiasan
KETUA Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan. -Foto Asyraf Hamzah
PROFESOR Program Optometri dan Sains Penglihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Bariah Mohd Ali. - Foto Rosela Ismail

Henti segera guna produk jika mata jadi merah, kabur

KUALA LUMPUR: Mata menjadi merah, berasa sakit dan penglihatan menjadi kabur, antara tanda-tanda awal seseorang pengguna kanta lekap kosmetik sudah dijangkiti ulser kornea atau radang mata.

Berikutan itu, Profesor Program Optometri dan Sains Penglihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Bariah Mohd Ali, menasihatkan mangsa menghentikan penggunaannya serta-merta dan segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

"Ada sesetengah kes jangkitan ulser kornea, langsung tidak menunjukkan sebarang gejala ketara sebegitu, sebaliknya mangsa langsung tidak dapat melihat dalam tempoh tertentu.

"Jangan ambil mudah, sebaliknya pengguna bertindak proaktif dengan tidak lagi menggunakan kanta lekap berkenaan," katanya kepada BH.

Semalam, BH melaporkan lambakan kanta lekap kosmetik yang dijual berleluasa di negara ini berisiko memudaratkan penggunanya termasuk menyebabkan buta.

Mudah diperoleh

TINJAUAN penjualan kanta lekap di sekitar ibu kota. - Foto NSTP

Lebih membimbangkan, kebanyakan kanta lekap yang boleh diperoleh dengan mudah secara dalam talian atau dijual semurah RM10 di pasar malam tidak mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat.

Malah, produk itu juga tidak didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan mengikut Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

Dr Bariah berkata, permasalahan itu timbul ketika pemerhatian klinikal dan kajian Demografi Pemakai Kanta Sentuh di Malaysia dilakukan penyelidik UKM pada 2012 hingga 2016 lalu.

"Dalam kajian itu, kami mendapati trend memakai kanta lekap kosmetik berwarna sudah lama menular terutama dalam kalangan remaja sekolah memandangkan harga ditawarkan amat rendah sekitar RM10 sepasang.

"Pengguna sanggup mengambil risiko asalkan mata mereka kelihatan tampak cantik dan mengikut peredaran fesyen walhal kualiti kanta lekap seperti ini tidak terjamin dan boleh membawa kepada risiko ulser kornea," katanya.

Beliau berkata, ditambah pula tabiat memakai kanta lekap dengan cara yang salah tanpa melakukan pemeriksaan mata terlebih dahulu, antara faktor utama yang menyumbang kepada jangkitan itu.

"Pemeriksaan mata amat penting bagi memastikan sama ada seseorang pengguna itu sesuai atau sebaliknya untuk menggunakan kanta lekap.

"Pada masa sama, jika pemakai kanta lekap tidak memberi penjagaan rapi, terutama di segi kebersihan serta mengikut arahan yang ditetapkan, mereka boleh mengalami ulser kornea," katanya.

Pengguna dimanipulasi

PROFESOR Program Optometri dan Sains Penglihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Bariah Mohd Ali. - Foto Rosela Ismail

Beliau berkata, dalam kajian itu juga mendapati ada peniaga kanta lekap kosmetik di pasaran bijak memanipulasi pengguna dengan meletakkan label penafian pada produk jualan mereka.

"Mereka (penjual) hanya meletakkan label kecil yang sukar dibaca, secara tidak langsung menolak tanggungjawab jika berlaku sebarang masalah selepas menggunakannya.

"Tetapi kita sedia maklum bahawa kebanyakan pengguna yang membeli kanta lekap kosmetik tidak berkualiti ini tidak mendapatkan preskripsi pakar mata," katanya.

Sementara itu, tinjauan BH di sekitar Lembah Klang mendapati kanta lekap sama ada kosmetik atau terapeutik boleh didapati dengan mudah di kedai menjual aksesori dan kecantikan.

Penjual yang ditemui mengakui produk kebanyakan kanta lekap kosmetik itu diimport dari China dan Korea Selatan melalui orang tengah serta penjualannya tidak disekat pihak berkuasa.

Mereka juga mendakwa, kanta lekap kosmetik dalam pelbagai warna itu mendapat permintaan tinggi golongan muda dan menjadi ikutan serta gaya hidup bagi mereka yang suka berfesyen.

Wartakan segera kanta lekap kosmetik

KETUA Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan. -Foto Asyraf Hamzah

KERAJAAN didesak supaya segera mewartakan kanta lekap kosmetik di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan Akta Optik 1991, bagi menangani masalah lambakan produk berkenaan di pasaran.

Gesaan itu dibuat oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, yang mahukan satu mekanisme atau undang-undang yang melindungi pengguna daripada membeli kanta lekap yang tidak diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Isu lambakan kanta lekap kosmetik yang dijual secara berleluasa di pasaran sememangnya mengundang fenomena membimbangkan kerana rata-rata produk itu tidak diketahui sumber mahupun tahap kebersihannya.

"Justeru, kanta lekap kosmetik harus segera diwartakan supaya pengedar dan penjual produk berkenaan mematuhi piawaian. Pada masa sama, hanya optometris dan juruoptik yang sah serta berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dibenarkan menjualnya," katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan BH, semalam yang mendedahkan mengenai penjualan kanta lekap kosmetik yang dijual secara berleluasa di pasaran termasuk laman sosial.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga harus memainkan peranan dengan melakukan pemantauan berkala di kawasan yang menjadi tumpuan peniaga.

"Jarang kita dengar mengenai serbuan kanta lekap kosmetik, malah tiada garis panduan dan kawal selia mengenainya.

"Kami (PPIM) berharap, kedua-dua kementerian dapat bekerjasama dalam usaha mewartakan produk ini dan menyediakan garis panduan yang lebih jelas kepada semua pihak," katanya.

Nadzim turut menasihatkan pengguna supaya membuat pemeriksaan mata terlebih dulu jika mahu memakai kanta lekap, termasuk kanta lekap berwarna tanpa kuasa.

"Ramai pengguna lupa akan hal ini (pemeriksaan mata), sebagai jalan singkat mereka terus membeli dan memakai kanta lekap untuk kelihatan cantik.

"Pemeriksaan penting bagi memastikan sama ada seseorang pengguna sesuai atau sebaliknya untuk menggunakan kanta lekap berkenaan," katanya.

Berita Harian X