Jumaat, 20 Oktober 2017 | 7:58pm

Mendiang Yeoh Tiong Lay usahawan ikonik: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay sebagai usahawan ikonik.

Perdana Menteri berkata, pengasas syarikat Kumpulan YTL itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 88 tahun dengan meninggalkan sebuah legasi untuk organisasi, komuniti dan negara.

"Rosmah (isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor) dan saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

"Semoga jasadnya bersemadi dengan aman," katanya dalam catatan buku ucapan takziah tetamu di kediaman mendiang di sini, hari ini.

Najib dan Rosmah tiba di kediaman Tiong Lay di Damansara Heights, kira-kira jam 5.40 petang bagi memberikan penghormatan terakhir terhadap mendiang, sebelum meninggalkan majlis 30 minit kemudian.

Tiong Lay, penerima anugerah berprestij 'Order of the Rising Sun' daripada Maharaja Jepun sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlangnya terhadap kerjasama ekonomi serta hubungan baik Jepun-Malaysia, meninggalkan balu, Puan Sri Tan Kai Yong dan tujuh anak.

YTL Corporation Bhd dalam kenyataan Rabu lalu memaklumkan perhimpunan ahli keluarga dan kenalan diadakan pada jam 8.30 malam bermula semalam hingga esok.

Upacara persemadian dijadual Ahad ini, mulai jam 10 pagi sebelum konvoi bertolak ke Nilai Memorial Park pada jam 12 tengah hari.

YTL Corp adalah antara 30 syarikat tersenarai di papan utama Bursa Malaysia Securities Berhad, sekali gus membentuk rangkaian utama komponen syarikat FTSE Bursa Malaysia KLCI, iaitu indeks petunjuk tukaran utama saham. - BERNAMA

651 dibaca
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri hadir memberi penghormatan terakhir kepada Pengasas Kumpulan YTL, Tan Sri Yeoh Tiong Lay di kediamannya, Bukit Damansara. - Foto Khairull Azry Bidin.
Berita Harian X