Jumaat, 20 Oktober 2017 | 8:58pm
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berucap pada sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Pertahanan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berucap pada sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Pertahanan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Cadang aset komando ditambah

KUALA LUMPUR: Penambahan aset untuk kegunaan Rejimen Gerak Khas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah antara usul Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk disenaraikan dalam Bajet 2018 yang akan dibentang Jumaat depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk dipertimbangkan.

"Penambahan aset untuk kegunaan anggota komando adalah antara yang perlu diberi keutamaan dalam senarai Kementerian Pertahanan untuk Bajet 2018.

"Kita percaya ia dapat membantu dalam menangani ancaman baharu keganasan seperti yang berlaku di Marawi City, Filipina.

"Kita tidak pernah berdepan serangan dan ancaman keganasan Daesh di sini, namun anggota komando perlu dilengkapi dengan peralatan terkini sebagai persediaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Pertahanan di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Seramai 890 peserta merangkumi pegawai dan anggota pelbagai pangkat, kakitangan awam Kementerian Pertahanan, Veteran ATM dan industri pertahanan hadir pada dialog itu bagi berkongsi aspirasi TN50 masing-masing.

Aspek membabitkan soal kebajikan anggota tentera antara yang banyak diketengahkan dalam sesi itu.

 

Hishammuddin berkata, sebanyak 57 sesi dilakukan di peringkat MINDEF di seluruh negara, membabitkan lebih 50,000 cadangan daripada 33,019 warga kementerian.

"Hari ini, saya berkongsi usaha memperkasa kebajikan dan kesiapsiagaan warga ATM, fungsi warga MINDEF dan ATM dalam merangka dasar pertahanan negara serta transformasi yang perlu bagi menghadapi perubahan landskap dunia.

"Saya setuju dengan aspirasi yang banyak menyentuh isu kebajikan. Jika kita lihat konflik di Asia Barat seperti di Aleppo, Syria, dan Mosul, Iraq, kecanggihan aset tidak mampu menyelesaikan masalah.

"Apa yang penting adalah semangat dan moral anggota tentera, justeru kebajikan mereka perlu diberi perhatian supaya semangat dan moral mereka dijaga," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X