Sabtu, 21 Oktober 2017 | 3:39pm
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak yang diadakan di Kuching, hari ini.

Sukatan pendidikan seks ditambahbaik

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mahu sukatan pendidikan seks di semua peringkat persekolahan ditambahbaik untuk diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral atau Pendidikan Islam.

Keputusan berkenaan dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak yang diadakan di Kuching, hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata mesyuarat itu turut membincangkan isu berkaitan keselamatan kanak-kanak terutama yang menjadi mangsa penderaan seksual.

"Bagi tujuan itu, pihak majlis memutuskan agar satu kaedah terbaik diperkenalkan untuk membantu kanak-kanak mendapat ilmu berkaitan reproduktif melalui saluran yang betul.

"Ini penting disebabkan selama ini anak-anak kita terlalu terdedah dengan maklumat di media sosial dan internet yang belum pasti diketahui kebenarannya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mesyuarat itu menghimpunkan pakar dalam bidang kanak-kanak, wakil agensi berkaitan kanak-kanak dan dua ahli tetap kanak-kanak daripada Majlis Perwakilan Kanak-kanak Kebangsaan untuk membincang serta mencari penyelesaian berkaitan isu semasa kanak-kanak di negara ini.

Katanya, isu kanak-kanak keciciran akibat dibuang sekolah dan isu sumbang mahram juga menjadi antara topik perbincangan dalam mesyuarat berkenaan.

461 dibaca
Berita Harian X