Ahad, 22 Oktober 2017 | 3:34pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu ditemuramah wartawan ketika melawat tapak runtuhan di Georgetown, hari ini. - Foto Mikail Ong

ADUN DAP Tanjung Bungah tempelak kerajaan negeri

GEORGETOWN: "Kerajaan negeri dan pemaju perlu bertanggungjawab".

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu, sebaik diminta mengulas berhubung tragedi runtuhan tanah di tapak pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini, semalam.

Yee Cheu berkata, beliau mengetahui mengenai projek itu sejak tiga tahun lalu, dan ia tidak mendapat kelulusan daripada pihaknya.

"Tiga tahun lalu, pihak pemaju ada menghantar permohonan mengenai projek ini ke pejabat saya untuk ulasan, tetapi saya tidak setuju.

"Apabila ia diluluskan, saya terkejut kerana saya langsung tidak dimaklumkan. Saya hanya tahu melalui orang awam yang memaklumkan projek ini sudah mula," katanya ketika ditemui ketika melawat tapak runtuhan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yee Cheu berkata, pihaknya mengesan tiga lagi projek perumahan puluhan tingkat sedang dijalankan di kawasan lereng bukit di Tanjung Bungah.

Malah, katanya, sekurang-kurangnya 10 lagi projek pembangunan berisiko tinggi sedang dalam proses untuk diluluskan oleh pihak bertanggungjawab.

"Kawasan Tanjung Bungah mempunyai nilai hartanah yang tinggi dan ia memberi keuntungan kepada kapitalis yang tidak mengendahkan kepentingan alam sekitar," katanya.

Untuk rekod, Yee Cheu adalah antara ADUN DAP yang paling lantang dalam isu membabitkan pembangunan di kawasan lereng bukit dan alam sekitar.

Berita Harian X