Ahad, 22 Oktober 2017 | 3:46pm
MENTERI Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada majlis perasmian kempen kesihatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) UEM Group Bhd di Projek Perumahan Rakyat, di Ampang, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

Tawaran ambil alih PLUS perlu praktikal

AMPANG: Sebarang tawaran syarikat swasta mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS) perlu dikemukakan secara praktikal dan dikaji secara teliti bagi mengelak risiko penswastaan seperti berlaku kepada Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja) berulang.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tawaran juga perlu mengambil kira kemampuan dan kaedah syarikat swasta terbabit menjana dana membiayai kos pengambilalihan berkenaan.

Katanya, kerajaan mengalu-alukan semua cadangan, tetapi perlu praktikal supaya tidak wujud situasi seperti Perwaja yang dahulu diberi hak penswastaan, akhirnya tutup.

Beliau berkata, tawaran pengambilalihan tidak boleh di lihat semata-mata kepada komitmen syarikat untuk tidak menaikkan kadar tol lebuh raya dan juga jumlah kos penyelenggaraan yang jauh lebih rendah.

"Soal pembiayaan, kita mahu tahu dari mana sumbernya. Kalau boleh, mereka perlu bentangkan perkara ini kepada pihak UEM Group Bhd dan kerajaan supaya kita boleh tengok dari mana datangnya pinjaman digunakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen kesihatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) UEM Group Bhd di Projek Perumahan Rakyat, di sini, hari ini.

Johari diminta mengulas mengenai tawaran Maju Holdings Sdn Bhd untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti PLUS Malaysia daripada UEM Group dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada harga RM36 bilion.

UEM Group memiliki 51 peratus kepentingan PLUS manakala KWSP memegang baki 49 peratus. 

Yang turut hadir,  Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM Group, Datuk Izzaddin Idris dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Dalam pada itu, Johari berkata dari segi peningkatan kadar tol, setakat ini beliau tidak nampak mana-mana syarikat konsesi tidak mahu menaikkannya.

"Saya cadangkan dulu, mereka tulis surat kepada kerajaan mengatakan tidak mahu naikkan kadar tol di semua plaza tol di lebuh raya yang mereka kuasai.

"Setakat ini, saya lihat semua pengendali tol naikkan harga, jadi saya mahu tahu mengapa mereka berbuat demikian," katanya.

Sementara itu,  Izzaddin sekali lagi menegaskan UEP Group  tidak pernah berhasrat untuk melepaskan PLUS kepada mana-mana syarikat lain sehingga tamat konsesi pada 31 Disember 2038.

Beliau menyangkal dakwaan PLUS mengeluarkan kos penyelenggaraan lebih tinggi untuk semua operasi, sebaliknya ia dilaksanakan menepati syarat dan piawaian ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Mengenai langkah PLUS tidak memanfaatkan nilai hartanah di sekitar jajaran lebuh raya di bawah konsesinya, beliau berkata konsesi yang di beri kepada pihaknya hanya membolehkan pengendali lebuh raya itu membangunkan tanah untuk kemudahan pengguna lebuh raya.

"Ini bermakna pihak PLUS tak boleh membangunkan apa jua projek lain seperti membina kondominium dan sebagainya. Kami perlu mengikut apa yang di tetapkan oleh LLM," katanya.

Berita Harian X