Ahad, 22 Oktober 2017 | 8:12pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim (tengah) pada sidang media di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Putrajaya, hari ini. yang turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi FIC, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim. - Foto Abd Rahim Rahmat

Pembangkang main isu pelaburan Felda untuk keliru rakyat

PUTRAJAYA: Isu yang dimainkan pembangkang, hanya bertujuan mengeliru serta mencetuskan kemarahan rakyat kepada kerajaan, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata perkara itu dapat dilihat apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menggunakan isu pelaburan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) di London sebagai agenda memburukkan kerajaan.

Katanya, Rafizi turut mengelirukan rakyat terutamanya golongan peneroka apabila membangkitkan beberapa perkara yang tidak masuk akal, termasuklah isu syarikat yang sudah ditutup, FIC London Hotel Pte Ltd.

"FIC London Hotel adalah syarikat asal ditubuhkan untuk membuat pelaburan di United Kingdom, ia adalah satu prosedur biasa kerana untuk memaksimumkan faedah cukai. Selepas ada perubahan dari struktur pelaburan, FIC London Hotel Pte Ltd ditutup dan FIC London Hotel (Private) Limited (FLH) ditubuhkan.

"Ia bukan satu perkara baharu dalam bidang pelaburan dan bukan satu benda untuk menutup salah laku atau penyelewengan. Apa yang dimainkan pembangkang sengaja untuk membuat golongan peneroka ini marah pada kerajaan, kononnya kerajaan buat semua ini untuk susahkan peneroka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi FIC, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

Razali berkata, beliau hairan kenapa Rafizi hanya membangkitkan isu syarikat yang sudah tidak beroperasi, dan bukannya syarikat yang masih beroperasi dan masih menjadi hak milik sepenuhnya FIC seperti FLH dan FIC Global Limited (FGL) yang didaftarkan di British Virgins Islands (BVI).

"Saya pasti kalau Rafizi membuat semakan di internet, beliau akan mendapat nombor pendaftaran syarikat yang masih beroperasi ini tetapi kenapa perkara ini tidak dibangkitkan," katanya.

Sebelum ini, Rafizi dalam satu kenyataannya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Shahrir, menjelaskan status pelaburan Felda FIC ke atas Hotel Grand Plaza Kensington di London.

Selain itu, Rafizi turut mendakwa pemilik rasmi Hotel Grand Plaza Kensington iaitu FLH sudah dibubarkan daripada syarikat yang didaftarkan di bawah BVI kerana gagal membayar yuran tahunan.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Syed Mohamed mengesahkan, FLH adalah pemilik tunggal The Park City Grand Plaza Kensington Hotel di London.

"FGL pula adalah pemilik tunggal Felda House dan Grand Felda House yang masing masing di London. FIC berharap dengan adanya penjelasan seperti ini ia dapat menjelaskan kekeliruan dan pertuduhan negatif mengenai status syarikat yang didedahkan oleh mana mana pihak," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Syed Mohamed berkata, barisan pengurusan FIC baharu akan menumpukan kepada usaha untuk memperkukuhkan proses tadbir urus korporat terutamanya dalam soal struktur dan sistem syarikat berkenaan.

"Dari barisan pengurusan ini kita dapat lihat wujudnya kredibiliti kerana adanya kepakaran dan pengalaman yang dapat memperkuatkan struktur dan perjalanan FIC seterusnya menyumbang kepada Felda," katanya.

End.

469 dibaca
Berita Harian X