Isnin, 23 Oktober 2017 | 4:22pm
NOH memegang dokumen garis panduan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi milik kerajaan persekutuan (kanan) dan garis panduan pembangunan milik kerajaan negeri Pulau Pinang pada sidang media di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Kerajaan Pulau Pinang ikut garis panduan sendiri

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pulau Pinang tidak menggunapakai Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit Dan Tanah Tinggi yang disediakan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, berkata sebaliknya pentadbiran negeri itu menggunakan Garis Panduan Keselamatan Untuk Pembangunan Kawasan Bukit 2012 yang dirangka sendiri tanpa merujuk garis panduan yang dikeluarkan KPKT.

Mungkin, katanya, pentadbiran kerajaan Pulau Pinang yang dinaungi Ketua Menteri, Lim Guan Eng menganggap garis panduan yang dirangka mereka jauh lebih lengkap dan terperinci berbanding KPKT.

Malah katanya, Jabatan Plan Malaysia (PLANMalaysia) Pulau Pinang juga tidak menyokong perancangan pembangunan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah seperti yang termaktub dalam minit mesyuarat.

"Pengarah PlanMalaysia Pulau Pinang memegang dua jawatan sebagai sekretariat jawatankuasa teknikal dan ahli jawatankuasa perancangan negeri.

"Merujuk rancangan Pulau Pinang tahun 2020, Plan Malaysia pada dasarnya tidak menyokong peningkatan kepadatan daripada 30 unit per ekar kepada 143 unit per ekar.

"Namun kerajaan negeri dalam mesyuarat jawatankuasa negeri yang dipengerusikan Guan Eng, membuat keputusan mereka sendiri," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noh berkata, mungkin garis panduan yang dibuat kerajaan negeri mengambil kira keadaan tanah tinggi di Pulau Pinang yang tidak sama, selain mempunyai geografi berbeza dengan negeri lain.

Sebab itu, katanya, kerajaan negeri itu memutuskan untuk mengikut garis panduan keselamatan pembangunan tanah tinggi sendiri.

"Bukan kita nak kata kalau ikut garis panduan KPKT dapat bendung perkara itu (tanah runtuh). Kita tak boleh cakap macam tu. Tetapi panduan kita terkini.

"Lagipun, kita tak boleh paksa kerana KPKT hanya buat garis panduan. Kuasa penuh (pelaksanaan) terletak pada pihak berkuasa tempatan (PBT). Kalau kita bagi garis panduan, masih ada kerajaan negeri tak terima, dia ubah ikut cara dia," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, KPKT sudah menghantar surat kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk membentangkan laporan tanah runtuh di tapak projek pembinaan perumahan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah.

Katanya, pembentangan itu akan dilakukan minggu depan pada mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berita Harian X