Isnin, 23 Oktober 2017 | 7:53pm
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Malaysia tidak import 'The Similac 2 follow-up formula 2'

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengimport produk susu formula bayi 'The Similac 2 follow-up formula 2' dari Ireland yang didakwa mempunyai kandungan vitamin B3 tidak konsisten dengan nilai diisytiharkan pada labelnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengesahan itu boleh dilihat menerusi Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) dan kenyataan pengilang produk 'Similac', Syarikat Abbott.

Katanya, semua makanan yang diperbuat atau diimport ke negara ini perlu mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983.

"Sehubungan itu, ia menjadi tanggungjawab pihak yang terbabit seperti pengimport, ejen dan penjual untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

"Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan satu kesalahan dan jika disabit bersalah, boleh dikenakan penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan berhubung isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, mereka juga boleh layari laman sesawang, http://moh.spab.gov.my atau  www.facebook.com/bkkmhq," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam blognya, https://kpkesihatan.com hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, portal berita Hong Kong, news.gov.uk memuat naik artikel bertajuk 'Infant formula mislabeled' yang antara lain menyebut Pusat Keselamatan Makanan negara itu mendapati kandungan vitamin B3 dalam sampel susu berkenaan tidak konsisten dengan nilai  kandungan yang sebenar.

Kandungan vitamin ialah 1.3 miligram (mg) per 100 gram berbanding 3.8 gram per 100 gram yang dniyatakan pada label tin produk terbabit.

Katanya, produk susu formula terbabit mempunyai berat bersih 400 gram setiap tin, nombor siri 63281NT dan tarikh luput pada 11 Mac 2018.  

Berita Harian X