Selasa, 24 Oktober 2017 | 9:45pm
LAPORAN BH semalam mengenai kenderaan dari negara jiran yang melanggar peraturan.
BEBERAPA kenderaan dari negara jiran yang diubahsuai ditemui di kawasan pemunggahan barangan eksport di Wang Kelian.
PIKAP Thailand yang menggunakan cermin gelap masuk ke negara ini.

Cermin gelap kenderaan Thailand cetus risiko jenayah

PADANG BESAR: Penggunaan cermin gelap pada kenderaan dari Thailand, yang memasuki negara ini membuka ruang kepada penjenayah melakukan penyeludupan.

Perkara itu diakui Komander Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali, yang mengesahkan semua kenderaan ditahan ketika pemeriksaan di pintu masuk negara bercermin gelap.

"Boleh dikatakan semua kenderaan negara jiran yang keluar masuk melepasi sempadan Malaysia-Thailand, bercermin gelap. Bagi AKSEM, kita tak boleh nak tahan dan periksa setiap kenderaan terbabit untuk kenal pasti sama ada ia melakukan jenayah, khususnya penyeludupan atau tidak.

"Sebagai penguat kuasa, kita melakukan pemeriksaan secara rawak, terutama bagi yang kelihatan mencurigakan. Kita sebenarnya boleh tahan dan periksa semua kenderaan secara teliti, tetapi kita kena ambil kira jumlah kenderaan yang keluar masuk sempadan, kerana ia akan menyebabkan kesesakan teruk di laluan pintu masuk negara," katanya.

Beliau mengulas laporan BH mengenai isu pikap dari Thailand kebal susulan status kenderaan dari negara jiran yang secara terang-terangan melanggar undang-undang negara termasuk dalam soal spesifikasi kenderaan yang turut membabitkan penggunaan cermin gelap.

Syed Basri berkata, antara Januari hingga September lalu pihaknya merekodkan rampasan pelbagai barangan daripada warga negara jiran itu yang keluar masuk melepasi sempadan Malaysia-Thailand, yang membabitkan nilai keseluruhan RM681,708.50.

TINJAUAN BH di lokasi tumpuan operasi pikap dari negara jiran di kawasan parkir bertentangan dengan Arked Niaga Wang Kelian.

KELIHATAN lori dari Malaysia memunggah barangan yang dieksport ke negara jiran berdekatan pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.

"Rekod tangkapan itu membabitkan 11 kes, yang mana 10 lelaki dan seorang wanita warga Thailand ditahan AKSEM atas aktiviti penyeludupan menggunakan kenderaan seperti kereta dan pikap.

"Antara barangan yang cuba diseludup adalah daun ketum, mercun, kura-kura, minyak masak dan tepung gandum bersubsidi, motosikal dan petrol," katanya.

Sementara itu, tinjauan BH di lokasi tumpuan operasi pikap dari negara jiran di kawasan parkir bertentangan dengan Arked Niaga Wang Kelian, dekat sini, yang digunakan untuk kegiatan eksport, mendapati semua kenderaan berkenaan melanggar peraturan negara ini.

Antaranya memasang ruang simpanan tambahan yang cukup besar yang bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya lain, malah boleh mengundang risiko aktiviti penyeludupan.

Kehadiran wartawan di satu-satunya kedai makanan berdekatan lokasi itu juga mencetus curiga apabila kerap diperhatikan kumpulan lelaki motosikal dari Thailand yang membuat rondaan di kawasan itu, yang didakwa berperanan sebagai 'tonto'.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, juga Ahli Parlimen Arau, pernah menyuarakan kebimbangan berikutan terdapat kes penyeludupan berlaku, yang mana terdapat individu mengambil kesempatan atas kebenaran aktiviti pengeksportan di kawasan parkir berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Arau, berkata sejak keistimewaan sistem zon aliran bebas di Wang Kelian ditarik semula, kawasan ini sudah 'mati' menyebabkan penyeludup bermaharajalela tanpa dapat dikawal selia dengan berkesan oleh pihak berkuasa.

INFO
Berdasarkan statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis:

  • 380 kesalahan dilakukan kenderaan Thailand antara Januari hingga Ogos lalu.
  • Daripada jumlah itu, 246 kenderaan didapati melanggar permit pengedaran antarabangsa (ICP).
  • 85 kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans.
Berita Harian X