Rabu, 25 Oktober 2017 | 4:46pm
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri) diringi Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin (kiri) melawat rumah mangsa ribut diTaman Saga Mentakab. - Foto Nazirul Roselan

Penerima pingat Pahang digesa bantu rakyat

TEMERLOH: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, menggesa individu termasuk artis yang menerima darjah kebesaran dari Pahang, tampil membantu rakyat negeri itu yang ditimpa musibah.

Tengku Abdullah mahu mereka yang berkeupayaan, tampil membantu mengurangkan beban ditanggung mangsa dan kembali berbakti kepada negeri ini selepas menerima darjah kebesaran.

"Saya hendak sarankan kepada mereka yang berkeupayaan supaya tampil membantu khususnya yang baharu dapat datuk semalam (sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang) khususnya artis dan orang perseorangan.


Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (dua dari kanan) mengunjungi rumah pesara tentera Aziz Mohamed Nor 50 (kiri) yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) Cacat penglihatan yang turut menjadi mangsa ribut dan mengalami kerosakan harta benda rumahnya diTaman Saga Mentakab. - Foto Nazirul Roselan

"Bukan bantu di sini sahaja (merujuk kepada kejadian ribut yang menjejaskan kediaman 166 keluarga di Mentakab pada Isnin lalu) tetapi di seluruh Pahang... apabila ditimpa musibah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengurniaan sumbangan kepada mangsa ribut di Taman Saga Ceria, Mentakab, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang.

Pada kejadian Isnin lalu, sebanyak 166 rumah terjejas apabila dilanda angin ribut menyebabkan kerugian dianggarkan lebih RM186,000.

Pada istiadat semalam, artis tempatan iaitu Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Datuk Eizlan Yusof dan Datuk Maria Menado, dianugerahkan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) ,yang membawa gelaran Datuk Seri.


Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang daripada 161 mengsa ribut di Dewan Taman Saga Mentakab. - Foto Nazirul Roselan

Pelakon asal Singapura, Adi Putra, dianugerahkan Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), yang membawa gelaran Datuk, manakala pereka fesyen, Jovian Mandangie, dianugerahkan Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP), juga membawa gelaran Datuk.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah berkata, gesaannya itu bukan berniat untuk menyindir.

"Masih ramai rakyat di negeri ini memerlukan pembelaan terutama yang dilanda musibah seperti ribut. Mereka perlukan bantuan dari segi moral dan kewangan.

"Kebelakangan ini banyak musibah berlaku dan ini peluang untuk mereka berbakti.

Seperti bencana ribut yang berlaku di sini. Mangsa memerlukan bantuan dari segi moral, bumbung, siling dan perabot. Kadangkala mereka perlu rasa apa dilalui rakyat yang dilanda musibah," katanya.

Berita Harian X