Rabu, 25 Oktober 2017 | 10:12pm
YAACOB Hassan menunjukkan tangannya yang cacat selepas terkena jerangkap samar ketika operasi tentera 'Ops Gubir 2' di sempadan Kedah/Thailand. - Foto Nazri Abu Bakar
YAACOB Hassan menunjukkan tangannya yang cacat selepas terkena jerangkap samar ketika operasi tentera 'Ops Gubir 2' di sempadan Kedah/Thailand. - Foto Nazri Abu Bakar

Mangsa jerangkap samar tidak menyesal

MELAKA: Kehilangan tangan kanan akibat jerangkap samar ketika berkhidmat dalam pasukan tentera 41 tahun lalu, bukti pengorbanan besar yang ditanggung bekas komando, Yaacob Hassan dalam mengekalkan keamanan negara.

Peristiwa hitam pada 21 April 1976 itu turut menyebabkan dua lagi rakannya, Husin Mahbob putus kaki kiri, manakala Allahyarham Ahmad Jantan putus kaki kanan. Ahmad meninggal dunia beberapa bulan lalu.

Menurut Yaacob, ketika kejadian beliau bersama beberapa anggota lain sedang menjalankan Ops Gubir 2 di sempadan Malaysia-Thailand bagi menghapuskan kubu komunis terbesar pada waktu itu.

YAACOB Hassan (kanan) menerima Pingat Jasa Malaysia daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (kiri) pada tahun 2013. - Foto Nazri Abu Bakar
YAACOB Hassan (kanan) menerima Pingat Jasa Malaysia daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (kiri) pada tahun 2013. - Foto Nazri Abu Bakar

"Peristiwa terkena jerangkap samar sentiasa menjadi kenangan hitam buat saya kerana menjadi orang kelainan upaya (OKU) sehingga kini akibat terputus tangan kanan.

"Dalam kejadian itu, Husin terlebih dulu terkena jerangkap samar yang dipasang komunis. Saya cuba membantu dan membersihkan wayar yang berselirat pada tubuh badannya dengan berhati-hati.

"Seakan kelihatan berjaya dalam usaha mematikan jerangkap samar berkenaan, secara tiba-tiba berlaku letupan menyebabkan saya tercampak sejauh kira-kira tiga meter, sekali gus menyebabkan kedua-dua tangan mengalami kecederaan teruk, selain turut mengenai sebahagian muka," katanya kepada BH.

Pesara tentera berasal dari Kampung Manggol, Pendang, Kedah itu berkata, peristiwa berkenaan menyebabkan dia terpaksa dirawat lebih dua bulan di hospital dan kemudiannya tidak diberikan kebenaran untuk mengikuti operasi menggempur komunis walaupun bersemangat untuk terus berjuang.

YAACOB ketika terlantar di hospital akibat jerangkap samar komunis pada tahun 1976. - Foto Nazri Abu Bakar
YAACOB ketika terlantar di hospital akibat jerangkap samar komunis pada tahun 1976. - Foto Nazri Abu Bakar

"Antara perkara yang saya kagum dan tidak dapat lupakan ketika mengalami kecederaan, seorang daripada rakan menyuruh saya mengucap dan mengharapkan jika saya meninggal dunia akan ditempatkan di dalam syurga walaupun beliau beragama Kristian," katanya.

Bapa kepada enam anak yang kini menetap di Kampung Tanah Merah, Paya Rumput itu berkata, ketika operasi berkenaan beliau sudah bertunang dengan isterinya, Fatimah Saleh.

"Walaupun berstatus OKU, saya bangga kerana cinta yang dibina sebelumnya tetap diteruskan hingga ke jinjang pelamin.

YAACOB Hassan (kiri) menguruskan isterinya walaupun dia kudung tangan kanan dan cacat tangan kiri. - Foto Nazri Abu Bakar
YAACOB Hassan (kiri) menguruskan isterinya walaupun dia kudung tangan kanan dan cacat tangan kiri. - Foto Nazri Abu Bakar

"Majlis perkahwinan diadakan sebaik saya keluar dari hospital dan pulih daripada insiden berkenaan. Saya tidak selesa memakai tangan palsu yang ditempah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila kabelnya terpaksa di sangkut pada leher.

"Ketika majlis persandingan, saudara-mara pengantin perempuan dan sebahagian tetamu tidak mengetahui pengantin lelaki kudung tangan kanan dan cacat tangan kiri selepas menggunakan tangan palsu.

"Sedih, terharu dan kelakar pun ada ketika itu kerana saya hanya berdiam diri dan tidak menikmati makanan pengantin akibat kekurangan diri," katanya.

Yaacob berkata, beliau juga berbangga dengan isterinya kerana tidak pernah merungut berkahwin dengan lelaki OKU ketika itu.

YAACOB Hassan bersama peralatan pertukangannya. - Foto Nazri Abu Bakar
YAACOB Hassan bersama peralatan pertukangannya. - Foto Nazri Abu Bakar

"Kini saya perlu membalas jasa dan pengorbanannya menerima saya seadanya dengan menjaga beliau (Fatimah) yang kini terlantar sakit akibat menderita penyakit saraf dan kanser payu dara.

"Saya juga reda dengan apa yang berlaku ke atas isteri, namun tetap menjaga dengan penuh ikhlas demi kasih sayang yang tidak pernah luntur," katanya.

INFO

- Yaacob Hassan kehilangan tangan kanan akibat jerangkap samar pada 21 April 1976.

- Dua lagi rakan Yaacob, Husin Mahbob putus kaki kiri manakala Allahyarham Ahmad Jantan putus kaki kanan.

- Ketika itu, Yaacob sedang menjalankan Ops Gubir 2 di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha menghapuskan kubu komunis terbesar pada waktu itu.

- Berbangga dengan isteri, Fatimah Saleh, 60, kerana tidak pernah merungut berkahwin dengan lelaki OKU ketika itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X