Khamis, 26 Oktober 2017 | 2:10pm
TIMBALAN Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi. - Foto Samadi Ahmad

Bincang terma misi cari MH370

KUALA LUMPUR: Malaysia berunding dengan syarikat penerokaan dasar laut antarabangsa, Ocean Infinity, berhubung penggunaan teknologi canggih dan kadar bayaran misi pencarian baharu pesawat MH370 yang hilang sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata kerajaan dalam proses memperincikan kadar bayaran untuk misi itu.

Beliau berkata, kadar bayaran dalam perincian ialah AS$20 juta (RM84.7 juta) hingga AS$70 juta (RM296.3 juta).

Katanya, syarikat itu menawarkan khidmat menjalankan tugas pencarian berdasarkan kejayaan seiring terma 'No Cure No Fee' (tiada penemuan, tiada bayaran).

"Rundingan membabitkan beberapa terma termasuk syarat pembayaran dan sama ada ia dibuat selepas bangkai pesawat ditemui.

"Selepas itu, ia mesti disahkan MH370 oleh pihak ketiga iaitu pembuat pesawat itu, Boeing.

"Kita sedang memperincikan perkara ini kerana ia membabitkan kadar bayaran yang tinggi," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan lanjut sekiranya bangkai pesawat MH370 gagal ditemui dalam operasi pencarian baharu.

Ab Aziz berkata, Malaysia, Australia dan China bersetuju sekiranya ada maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh diperoleh, operasi pencarian selanjutnya boleh dipertimbangkan.

172 dibaca
Berita Harian X